Bursa Malaysia dibuka rendah

Bursa Malaysia dibuka rendah

KUALA LUMPUR,. Bursa Malaysia dibuka rendah pagi ini, mengambil petunjuk daripada kelemahan prestasi semalaman di Wall Street.

Saham AS ditutup kebanyakannya rendah pada Khamis tetapi tinggi sedikit daripada paras terendah seharian dengan para pelabur beralih kepada pelaburan berkaitan teknologi terutama dalam situasi kes koronovirus yang kian meningkat di Amerika Syarikat, kata seorang peniaga.

Pada pukul 9.02 pagi, petunjuk utama pasaran FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) merosot 8.12 mata kepada 1,575.13 berbanding 1,583.25 ketika ditutup hari sebelumnya.

Indeks utama dibuka 4.33 mata lebih rendah pada 1,578.92.

Pergerakan harga keseluruhan pasaran kekal negatif dengan kaunter rugi mengatasi untung 171 berbalas 150, manakala 300 kaunter tidak berubah, 1,332 tidak diniagakan dan 22 lain digantung.

Jumlah dagangan ialah 324.03 juta saham bernilai RM130.68 juta.

Malacca Securities Sdn Bhd dalam nota penyelidikannya berkata FBM KLCI kini telah berubah menjadi lebih berhati-hati selepas mencatatkan keuntungan berturut-turut yang disokong oleh “penny counters” (saham di bawah harga RM1).

“Memandangkan kekurangan petunjuk baharu, penurunan bakal berlaku dengan para pelabur terus memantau perkembangan pemulihan ekonomi.

“Pada masa yang sama, turun naik harga saham di Wall Street mungkin boleh mengekang sebarang keuntungan,” katanya.

Untuk fokus sektor pula, ia berkata sektor penjagaan kesihatan akan terus berkembang maju dalam jangka masa yang akan datang memandangkan jumlah kes baharu COVID-19 terus meningkat.

Dalam kalangan saham berwajaran tinggi, Maybank lega tiga sen kepada RM7.88, Public Bank turun 14 sen kepada RM18.36 dan Hartalega jatuh dua sen kepada RM16.58.

Tenaga menokok dua sen kepada RM11.50 sementara Top Glove kekal pada RM21.18.

Saham-saham paling cergas pula, VSolar Group lebih rendah 1.5 sen kepada 5.5 sen, Hubline menokok setengah sen kepada lapan sen, AT Systematization lebih rendah setengah sen kepada sembilan sen manakala waran Pegasus dan Velesto, masing-masing kekal satu sen dan 15 sen.

Di papan indeks, FBM Emas susut 36.67 mata kepada 11,124.29, Indeks FBMT 100 turun 43.25 mata kepada 10,967.59 dan Indeks FBM Emas Shariah berkurangan 35.76 mata kepada 12,698.63.

Indeks FBM 70 pula lega 1.63 mata kepada 13,788.68 sementara FBM ACE menokok 6.65 mata kepada 7,244.57.

Mengikut sektor, Indeks Kewangan merosot 52.82 mata kepada 13,492.76, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian turun 0.47 mata kepada 139.23 dan Indeks Perladangan susut 65.87 mata kepada 6,792.95.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This