Bursa Malaysia Dibuka rendah

Bursa Malaysia Dibuka rendah

KUALA LUMPUR,. Dagangan di Bursa Malaysia memulakan urus niaga minggu ini agak rendah berikutan kebimbangan mengenai kemunculan varian baharu COVID-19 terus menyelubungi sentimen belian, kata para penganalisis.

Pada 9.05 pagi, indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) menyusut 8.81 mata kepada 1,503.41 daripada 1,512.22 pada penutupan Jumaat minggu lalu.

Indeks utama dibuka 4.43 mata lebih lemah pada 1,507.79.

Kaunter rugi mengatasi untung 589 berbalas 80 sementara 188 kaunter tidak berubah, 1,455 tidak diniagakan dan 78 yang lain digantung.

Jumlah dagangan 401.14 juta unit bernilai RM263.24 juta.

Menurut Malacca Securities Sdn Bhd, varian baharu COVID-19, Omicron, mungkin boleh mengakibatkan sentimen bercampur-campur kerana data seperti kebolehjangkitan dan kadar kematian hanya akan diketahui dalam masa satu hingga dua minggu lagi.

Sementara itu, menjejaki lantunan sederhana di pasaran niaga hadapan luar negara pada ketika ini, terdapat sedikit peluang untuk lonjakan teknikal hari ini, tetapi peningkatan adalah terhad kerana situasi COVID-19.

Bagi komoditi, harga minyak mentah turun lebih 11.0 peratus kerana pasaran masih bimbang yang keadaan COVID-19 akan lambat laun boleh menyebabkan lebihan bekalan minyak, manakala harga minyak sawit mentah pula terus menyusut.

“Penjualan dalam sektor bertema pemulihan mungkin berterusan dengan lebih banyak negara menguatkuasakan sekatan pergerakan sementara kami pula menjangkakan minat belian baharu dalam sektor penjagaan kesihatan sekurang-kurangnya untuk jangka masa terdekat ini.

“Namun begitu, aktiviti pembelian harga bersaham rendah akan muncul sekiranya penjualan terus ketara dalam sektor bertemakan pemulihan,” kata firma broker itu dalam nota Market Pulsenya.

Mengenai unjuran teknikal, ia berkata FBM KLCI terus merosot daripada paras sokongan 1,520 berikutan aktiviti jualan pada Jumaat.

Ia menyatakan bahawa tahap sokongan seterusnya dikekalkan pada 1,500, manakala rintangan sekitar 1,535 hingga 1,560.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank turun lapan sen kepada RM8.02, Public Bank susut tiga sen kepada RM3.97, Petronas Chemicals lemah 10 sen kepada RM8.33, Tenaga merosot lima sen kepada RM9.33, CIMB lebih rendah 14 sen kepada RM4.96 dan IHH tidak berubah pada RM6.56.

Bagi saham aktif, Careplus naik 13 sen kepada RM1.35, manakala Kanger susut setengah sen kepada tiga sen dan DNex lemah 1.5 sen kepada 80 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas mengecil 92.01 mata kepada 10,987.12, Indeks FBMT 100 menguncup 80.43 mata kepada 10,682.22, dan Indeks FBM Emas Syariah turun 62.20 mata kepada 11,978.54.

FBM 70 kerugian 178.29 mata kepada 14,276.32 dan FBM ACE susut 91.37 mata kepada 6,371.94.

Mengikut sektor, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian susut 3.14 mata kepada 199.63, Indeks Perkhidmatan Kewangan menyusut 178.58 mata kepada 14,965.09, dan Indeks Perladangan turun 50.94 mata kepada 6,414.10.

-BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )