Bursa Malaysia dibuka rendah

Bursa Malaysia dibuka rendah

KUALA LUMPUR,. Dagangan di Bursa Malaysia dibuka rendah pagi Rabu, mengambil petunjuk daripada kerugian signifikan yang dicatatkan oleh Wall Street, kata seorang penganalisis.

Pada 9.05 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) yang menjadi penanda aras pasaran menyusut 7.63 mata kepada 1,506.35 daripada 1,513.98 pada penutup urus niaga Selasa.

Indeks utama dibuka lemah 6.50 mata kepada 1,507.48.

Pergerakan pasaran secara keseluruhan menyaksikan kaunter rugi mengatasi untung 284 berbalas 116 manakala 199 kaunter tidak berubah, 1,678 tidak diniagakan dan 21 yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 220.14 juta unit bernilai RM163.42 juta.

Menurut Malacca Securities Sdn Bhd, dengan kerugian dicatat oleh Wall Street, peningkatan mungkin terhad dan pasaran tempatan dijangka kekal tidak menentu di tengah-tengah kebimbangan terhadap perkembangan yang berkisar mengenai varian Omicron COVID-19.

“Bagaimanapun, sesetengah pelabur mungkin mengambil kesempatan dengan menambah pegangan dalam syarikat sarung tangan,” katanya menerusi catatan Market Pulse hari ini.

Mengenai harga minyak, ia berkata laporan menunjukkan kadar peningkatan bekalan yang lebih perlahan daripada Pertubuhan Negara-negara Pengeksport Petroleum dan sekutunya (OPEC+) pada November sementara OPEC+ turut menjangkakan lebihan bekalan minyak global pada suku pertama 2022, dan ini boleh mengakibatkan penurunan harga minyak mentah.

Ketika ini, minyak mentah Brent turun 3.91 peratus kepada US$70.57 setong, manakala harga minyak sawit mentah (MSM) susut hampir empat peratus.

“Pelabur mungkin mencari peluang dalam tempoh ‘window dressing’ pada Disember. Sementara itu, saham sarung tangan diunjur didagangkan secara aktif ekoran kebimbangan terhadap varian Omicron.

“Namun, kami percaya peniaga mungkin berundur daripada membeli saham minyak dan gas dan perladangan berikutan penurunan harga MSM dan minyak mentah,” kata firma broker itu.

Dari sudut teknikal, ia berkata tahap sokongan ialah pada 1,500 dan tahap rintangan seterusnya ditetapkan pada 1,535-1,560.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank, Public Bank dan Tenaga susut satu sen setiap satu kepada RM7.97, RM3.93 dan RM9.23, Petronas Chemicals turun enam sen kepada RM8.44 dan CIMB lemah 15 sen kepada RM5.03, manakala IHH meningkat dua sen kepada RM6.60.

Bagi saham aktif, BCM Alliance naik setengah sen kepada 5.5 sen, ATA IMS susut dua sen kepada 43 sen dan XOX tidak berubah pada tiga sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas mengecil 55.14 mata kepada 11,028.64, Indeks FBMT 100 menguncup 51.11 mata kepada 10,718.46 dan Indeks FBM Emas Syariah 64.64 mata lebih rendah kepada 12,063.98.

FBM 70 pula kerugian 56.13 mata kepada 14,385.49, manakala FBM ACE menambah 2.75 mata kepada 6,532.69.

Mengikut sektor, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian susut 0.71 mata kepada 194.33, Indeks Perkhidmatan Kewangan jatuh 64.48 mata kepada 14,970.03 dan Indeks Perladangan turun 27.69 mata kepada 6,404.95.

–BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This