Bursa Malaysia dibuka rendah

Bursa Malaysia dibuka rendah

KUALA LUMPUR,. Bursa Malaysia dibuka 5.71 mata lebih rendah pagi ini, mengambil petunjuk daripada prestasi lemah semalaman Wall Street pada Jumaat minggu lalu.

Pada jam 9.05 pagi, indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) merosot kepada 1,419.27 daripada 1,424.98 pada penutup urus niaga Jumaat.

Indeks utama itu memulakan urus niaga pada 1,423.83, turun 1.15 mata.

Pergerakan harga di pasaran secara menyeluruh adalah negatif, menyaksikan kaunter rugi mengatasi kaunter untung 294 berbalas 69, manakala 194 kaunter tidak berubah, 1,840 tidak diniagakan dan sembilan yang lain digantung.

Jumlah dagangan adalah sebanyak 154.40 juta unit bernilai RM54.99 juta.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd, Thong Pak Leng, berkata dengan bursa tempatan kini berada dalam zon terlebih jual, beliau berpendapat indeks FBM KLCI akan pulih semula dalam masa terdekat dan menjangkakan ia berada dalam aliran julat 1,420-1,435 hari ini.

“Kegiatan memburu saham berharga murah kemungkinan muncul dalam saham berkaitan teknologi dan telekomunikasi berikutan jualan besar pada Jumaat lalu.

“Bagaimanapun, kaunter minyak dan gas mungkin berhadapan beberapa tekanan jualan apabila harga minyak mentah Brent merosot kepada AS$86 setong berikutan kebimbangan kemelesetan global,” katanya kepada Bernama.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Petronas Gas melonjak 12 sen kepada RM16.54, MISC tidak berubah pada harga RM6.94, Maybank dan TNB susut dua sen setiap satu menjadi RM8.67 dan RM8.68, Public Bank dan CIMB turut merosot satu sen, masing-masing mencatatkan RM4.33 dan RM5.38.

Sementara itu, Petronas Chemicals lemah tujuh sen kepada RM8.28 dan Hong Leong Bank turun 18 sen kepada RM20.50.

Bagi saham aktif, Aimflex naik setengah sen menjadi 15.5 sen, HB Global menambah 1.5 sen kepada 12 sen, MAG Holdings tidak berubah pada 17.5 sen sementara MQ Technology dan Velesto Energy turun setengah sen setiap satu kepada 3.0 sen dan 12.5 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas susut 35.65 mata kepada 10,161.73, FBM 70 lemah 59.78 mata menjadi 12,372.01, Indeks FBMT 100 kerugian 41.70 mata kepada 9,891.92, Indeks FBM Emas Syariah menguncup 42.20 mata menjadi 10,196.0 dan FBM ACE kehilangan 45.98 mata kepada 4,720.65.

Mengikut sektor, Indeks Tenaga turun 15.68 mata untuk mencapai paras 696.96, Indeks Perladangan merosot 2.72 mata kepada 6,761.99, Indeks Perkhidmatan Kewangan menguncup 36.64 mata kepada 16,231.93 dan Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian lemah 1.55 mata kepada 170.65.

–BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This