Bursa Malaysia dibuka rendah hari ini

Bursa Malaysia dibuka rendah hari ini

KUALA LUMPUR,. Bursa Malaysia dibuka rendah hari ini, mengambil petunjuk daripada Wall Street yang sekali lagi mencatatkan penurunan semalaman berikutan testimoni Pengerusi Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (AS) Jerome Powell kepada Kongres AS yang cenderung menyebelahi kenaikan kadar faedah.

Pada 9.05 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 0.64 mata kepada 1,392.81 daripada 1,393.45 pada penutup hari Rabu.

Indeks utama dibuka 1.33 mata lebih rendah pada 1,392.12.

Di pasaran yang lebih luas, kaunter rugi mengatasi kaunter untung 117 berbalas 105, manakala 205 kaunter tidak berubah, 1,867 tidak diniagakan dan 19 yang lain digantung.

Jumlah dagangan 123.60 juta unit bernilai RM42.25 juta.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd, Thong Pak Leng berkata Wall Street mengalami kejatuhan apabila peniaga mencerna komen Powell yang membayangkan lebih banyak kenaikan kadar untuk membendung inflasi tahun ini.

Sehubungan itu, Purata Perindustrian Dow Jones kerugian 102 mata manakala Nasdaq merosot 165 mata apabila hasil 10 tahun Perbendaharaan AS meningkat sedikit kepada 3.727 peratus.

Di dalam negara, Thong menambah FBM KLCI ditutup pada paras tertinggi hampir satu bulan semalam disokong oleh komen terbaru Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai pasaran ekuiti.

“Kami menjangkakan sekiranya indeks berjaya kekal melepasi paras 1,390 hari ini, ia akan mencabar paras seterusnya 1,400 seterusnya. Justeru, kami percaya pengumpulan saham kewangan dan telekomunikasi akan berterusan selepas kegiatan jualan rancak baru-baru ini,” katanya kepada Bernama.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, CIMB susut tiga sen kepada RM5.22, Tenaga Nasional menambah tiga sen menjadi RM9.22 sementara Maybank, Public Bank dan IHH Healthcare tidak berubah, masing-masing mencatatkan RM8.74, RM3.91 dan RM5.87.

Bagi saham aktif, Vinvest Capital dan Bintai masing-masing merosot setengah sen kepada tujuh sen dan 7.5 sen, Bumi Armada menokok satu sen menjadi 49.5 sen, Tanco naik setengah sen kepada 51.5 sen manakala Classita tidak berubah pada 9.5 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas turun 3.86 mata kepada 10,246.60, Indeks FBMT 100 berkurangan 5.49 mata kepada 9,945.97 dan Indeks FBM Emas Syariah merosot 0.24 mata menjadi 10,516.16

Indeks FBM 70 susut 11.36 mata kepada 13,466.52 tetapi Indeks FBM ACE naik 26.25 mata untuk mencatatkan paras 5,114.27.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan susut 3.07 mata kepada 15,469.22, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian menyusut 0.27 mata menjadi 159.02 dan Indeks Perladangan susut 4.65 mata kepada 6,719.72 manakala Indeks Tenaga menambah 4.88 mata kepada 788.77.

–Bernama

CATEGORIES
TAGS
Share This