Bursa Malaysia dibuka rendah pada pagi

Bursa Malaysia dibuka rendah pada pagi

KUALA LUMPUR,. Bursa Malaysia meneruskan penurunan semalam untuk dibuka rendah pagi ini berikutan aktiviti pengambilan untung yang berterusan dalam kebanyakan saham wajaran tinggi sejajar dengan kelemahan di pasaran serantau, kata para peniaga.

Pada 9.40 pagi, petunjuk pasaran FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) turun 6.84 mata kepada 1,555.43 daripada paras penutup 1,562.27 pada Selasa.

Pada paras pembukaan, indeks petunjuk pasaran turun 8.28 mata kepada 1,553.99.

Di keseluruhan pasaran, kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 250 berbanding 166, manakala 280 kaunter tidak berubah, 1,273 tidak diniagakan dan 17 yang lain digantung.

Jumlah dagangan berjumlah 429.94 juta saham bernilai RM189.68 juta.

Malacca Securities Sdn Bhd dalam nota penyelidikannya berkata prospek pasaran kekal lemah selepas penurunan semalam yang menjejaskan prospek dalam masa terdekat.

“Sebelumnya kami berharap belian susulan semalam tetapi tekanan jualan yang sekali lagi berlaku menjejaskan sentimen dan mengekalkan aliran suram.

“Dalam keadaan sekarang, kami melihat penurunan seterusnya dalam tempoh terdekat dalam kalangan ekuiti Malaysia kerana jualan masih berlaku, terutamanya apabila ekuiti global mengalami prestasi tidak menentu berikutan kebimbangan terhadap perjanjian perdagangan Amerika Syarikat dan China tidak menjadi kenyataan dalam waktu terdekat ini,” kata firma penyelidikan itu.

Firma itu berkata musim pelaporan keputusan yang berakhir baru-baru ini masih menunjukkan prestasi pendapatan bercampur-campur yang juga menyediakan beberapa petunjuk baru bagi hala tuju pasaran.

“Dalam tempoh sementara, sokongan kini beralih ke paras 1,560, diikuti paras 1,550. Paras ketahanan masing-masing berada pada 1,570 dan 1,575 mata,” kata firma itu.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank turun satu sen kepada RM8.50, TNB susut dua sen kepada RM13, Petronas Chemicals jatuh enam sen kepada RM6.98, CIMB susut tujuh sen kepada RM5.08 manakala Public Bank tidak berubah pada RM19.46.

Dalam kalangan kaunter cergas, Alam Maritim dan Sapura energy susut setengah sen setiap satu masing-masing kepada 13 sen dan 27 sen, Mudajaya meningkat 2.5 sen kepada 37 sen manakala Ekovest naik satu sen kepada 80.5 sen.

Indeks FBM Emas Shariah jatuh 50.73 mata kepada 11,556.86, Indeks FBM Emas susut 41.03 mata kepada 11,037.33, FBM 70 berkurangan 8.88 mata kepada 13,758.16, Indeks FBMT 100 turun 38.10 mata kepada 10,853.42 dan FBM Ace jatuh 1.73 mata kepada 4,760.62.

Mengikut sektor, Indeks Perladangan susut 13.10 mata kepada 7,119.73, Indeks Perkhidmatan Kewangan turun 24.85 mata kepada 15,207.97 dan Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian berkurangan 0.66 mata kepada 148.74.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This