Bursa Malaysia dibuka rendah pada pagi

Bursa Malaysia dibuka rendah pada pagi

KUALA LUMPUR,. Bursa Malaysia dibuka rendah hari ini, didorong oleh aktiviti pengambilan untung yang sederhana dan prestasi pasaran serantau yang rendah.

Pada 9.10 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) merosot 0.09 peratus atau 1.56 mata kepada 1,615.19 daripada 1,616.75 pada Khamis.

Indeks petunjuk pasaran dibuka rendah 0.99 mata kepada 1,615.76.

Dalam pasaran secara menyeluruh, kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 208 berbanding 158 dengan 363 kaunter tidak berubah, 1,674 tidak diniagakan dan enam yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 233.06 juta unit bernilai RM105.11 juta.

Dalam nota penyelidikan, Malacca Securities Sdn Bhd berkata, peniaga kekal optimis, beralih kepada saham penjagaan kesihatan yang boleh memberikan pulangan yang lebih stabil, melihat peluang yang berpotensi.

“Kami percaya pelaburan dalam pusat data yang menjadi pemangkin berterusan, selain potensi pengumuman mengenai kereta api berkelajuan tinggi Kuala Lumpur-Singapura pada separuh kedua 2024, akan meningkatkan sektor pembinaan, hartanah, bahan binaan dan utiliti.

“Selain itu, saham teknologi akan menjadi topik jangka panjang dengan penggunaan AI dan perkhidmatan teknologi awan yang meningkat,” katanya.

Sementara itu, katanya pasaran AS ditutup untuk cuti umum sempena Hari Kemerdekaan.

Peniaga akan memantau data seperti purata pendapatan setiap jam, perubahan pekerjaan bukan ladang dan kadar pengangguran, yang akan mempengaruhi keputusan Rizab Persekutuan AS pada masa depan.

Saham wajaran tinggi menyaksikan prestasi yang bercampur-campur: Maybank merosot enam sen kepada RM10.04, Public Bank dan CIMB, masing-masing berkurangan satu sen kepada RM4.04 dan RM6.99 manakala Tenaga Nasional menambah empat sen kepada RM14.28. IHH Healthcare kekal tidak berubah pada RM6.33.

Dalam kalangan kaunter paling aktif, Orgabio naik lima sen kepada 48 sen, Green Ocean meningkat dua sen kepada 18 sen dan SNS Network menambah 3.5 sen kepada 92 sen.

HHRG tidak berubah pada 16.5 sen manakala Ocean Fresh susut 5.5 sen kepada 71.5 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas merosot 9.71 mata kepada 12,466.97, Indeks FBMT 100 berkurangan 10.37 mata kepada 12,034.26, Indeks FBM ACE susut 6.43 mata kepada 5,955.20 dan Indeks FBM 70 turun 11.35 mata kepada 18,382.57.

Bagaimanapun, Indeks FBM Emas Shariah menambah 2.70 mata kepada 12,831.54.

Mengikut sektor, Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan naik 0.35 mata kepada 199.54, Indeks Tenaga meningkat 2.27 mata kepada 991.83 dan Indeks Perladangan menambah 16.31 mata kepada 7,030.22 manakala Indeks Perkhidmatan Kewangan merosot 38.68 mata kepada 17,621.95.

–BERNAMA

CATEGORIES
Share This