Bursa Malaysia dibuka rendah pada sesi pagi

Bursa Malaysia dibuka rendah pada sesi pagi

KUALA LUMPUR,. Bursa Malaysia menyaksikan dagangan lebih rendah pada sesi awal Jumaat berikutan aktiviti pengambilan untung selepas peningkatan pasaran semalam ketika pelabur memilih untuk tidak mengambil sebarang kedudukan menjelang pengumuman data Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) suku kedua pada hari ini.

Pada 9.05 pagi ini, indeks petunjuk utama FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) turun 0.12 mata kepada 1,505.44 daripada 1,505.56 pada akhir urus niaga semalam.

Indeks itu dibuka susut 0.49 mata kepada 1,505.07.

Di pasaran meluas, kaunter rugi mengatasi untung iaitu 189 berbanding 105 manakala 189 kaunter lain tidak berubah, 1,855 tidak diniagakan dan 24 lain digantung dagangannya.

Jumlah dagangan sebanyak 98.91 juta unit bernilai RM47.92 juta.

Sementara itu, Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten, Thong Pak Leng menjangkakan FBM KLCI akan meneruskan aliran kenaikannya selepas berjaya melepasi paras 1,500, semalam.

“Kami menjangkakan indeks itu akan bergerak dalam jajaran 1,500-1,515 apabila sentimen pasaran semakin pulih.

“Pada masa sama, kami juga mendapati aktiviti pembelian kembali bertumpu kepada syarikat-syarikat berkaitan logistik yang terbukti mencatat prestasi lebih baik sejak akhir-akhir ini,” katanya.

Saham wajaran tinggi menyaksikan Maybank naik dua sen kepada RM8.96, CIMB dan Hong Leong Bank masing-masing meraih satu sen kepada RM5.38 dan RM20.88 manakala Public Bank dan IHH Healthcare kekal pada RM4.65 dan RM6.48.

Bagaimanapun, Petronas Chemicals dan Tenaga Nasional susut dua sen kepada RM8.76 dan RM8.56.

Bagi saham aktif, Theta dan Hibiscus masing-masing naik dua sen kepada 98 sen dan 86 sen, Bintai dan G3 Global tidak berubah masing-masing pada 10 sen dan tiga sen manakala Unique Fire turun satu sen kepada 24.5 sen.

Di papan indeks pula, Indeks FBM Emas berkurangan 0.03 mata kepada 10,683.01, Indeks FBMT 100 susut 5.11 mata kepada 10,426.12, Indeks FBM Emas Syariah turun 10.24 mata kepada 10,799.87, FBM 70 merosot 23.44 mata kepada 12,774.51 dan FBM ACE berkurangan 19.76 mata kepada 4,929.34.

Bagi sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan menambah 35.96 mata kepada 16,811.98, Indeks Perladangan naik 2.04 mata kepada 7,158.29 manakala Indeks Tenaga meraih 1.84 mata kepada 660.76 namun Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian turun 0.4 mata kepada 183.62.

–BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This