Bursa Malaysia dibuka rendah pagi ini

Bursa Malaysia dibuka rendah pagi ini

KUALA LUMPUR,. Aktiviti pengambilan untung yang berterusan membabitkan saham wajaran tinggi terpilih mendorong dagangan di Bursa Malaysia pagi ini dibuka rendah di tengah-tengah sentimen berhati-hati di bursa serantau, kata peniaga.

Pada 9.15 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) turun 3.0 mata kepada 1,454.99 daripada penutupan Isnin 1,457.99. Indeks utama dibuka pada paras 1,456.72, susut 1.27 mata lebih rendah pada 1,456.72.

Bagaimanapun di pasaran yang lebih luas, kaunter untung mengatasi kaunter rugi 212 berbalas 149 manakala 292 kaunter tidak berubah, 1,721 tidak diniagakan dan 11 digantung.

Jumlah dagangan 412.77 juta unit bernilai RM160.48 juta.

Menurut Malacca Securities Sdn Bhd, Wall Street mengakhiri dagangan semalaman tidak berubah apabila para pelabur terus mengambil sikap berhati-hati menjelang mesyuarat Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (AS) selama dua hari yang akan menentukan hala tuju kadar faedah AS.

Pada masa sama, pasaran-pasaran Eropah dan Asia ditutup rendah kerana pelabur menantikan data ekonomi utama dari Jepun dan China yang akan dikeluarkan pada akhir minggu.

Di dalam negara pula, ia berkata memandangkan mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) AS hanya akan dimuktamadkan esok, aktiviti dagangan dijangka perlahan.

“Bagaimanapun, peniaga mungkin mengalihkan perhatian mereka kepada pemangkin domestik seperti Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara, Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 dan memorandum persefahaman bernilai berbilion ringgit yang ditandatangani dengan syarikat China pada hujung minggu,” katanya.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank, Petronas Chemicals dan IHH Healthcare, kesemuanya susut satu sen masing-masing mencatatkan harga RM8.92, RM7.26 dan RM5.96, Public Bank lemah dua sen menjadi RM4.18 manakala CIMB tidak berubah pada RM5.76.

Bagi saham aktif, TWL dan Tanco masing-masing kekal pada 3.5 sen dan 55.5 sen, KNM menambah satu sen kepada 11.5 sen dan Sunsuria menokok 5.5 sen menjadi 60.5 sen manakala Mercury Securities yang baharu disenaraikan di Pasaran ACE meningkat empat sen kepada 29 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas turun 8.18 mata kepada 10,754.14, Indeks FBMT 100 menguncup 8.94 mata kepada 10,425.69 dan Indeks FBM Emas Syariah susut 12.14 mata kepada 10,983.49.

Sementara itu, Indeks FBM 70 menokok 42.55 mata kepada 14,268.55 dan Indeks FBM ACE meningkat 1.47 mata kepada 5,190.91.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan menyusut 15.14 mata kepada 16,325.90, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian turun 0.03 mata menjadi 172.91 dan Indeks Perladangan menguncup 17.75 mata kepada 6,959.85, manakala Indeks Tenaga memperoleh 10.74 mata kepada 903.28.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This