Bursa Malaysia dibuka rendah seiring prestasi pasaran Asia

KUALA LUMPUR,. Bursa Malaysia dibuka rendah yang hampir merentasi semua papan hari ini, seiring dengan prestasi penyusutan pasaran saham Asia lain berikutan penurunan ketara yang dialami oleh Wall Street semalam.

Pada 9.05 pagi, indeks petunjuk utama FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) turun 2.62 mata kepada 1,491.99 daripada 1,494.61 sewaktu ditutup pada Isnin selepas dibuka susut 2.50 mata kepada 1,492.11.

Pasaran secara menyeluruh menyaksikan kaunter rugi mengatasi untung iaitu 212 berbanding 137 manakala 264 kaunter lain tidak berubah, 1,558 tidak didagangkan dan 42 lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 286.05 juta unit bernilai RM146.28 juta.

Menurut seorang penganalisis, pasaran susut semalam selepas Washington terbukti gagal memuktamadkan perkara berhubung pakej rangsangan, sekali gus menyukarkan sebarang usaha mencapai persetujuan sebelum pemilihan presiden negara itu pada 3 November ini.

“Oleh itu, aktiviti mencari saham-saham berharga rendah dijangka berlaku pada tengah hari ini ketika pasaran tempatan terus menjejaki pergerakan pasaran global,” katanya.

Menurut media kewangan Bloomberg, saham-saham di Jepun, Australia dan Korea Selatan susut ketika pasaran dibuka hari ini apabila kontrak S&P 500 terus susut dan mencatat penurunan terbesarnya dalam tempoh sebulan.

Keadaan itu disebabkan oleh sentimen suram terhadap prospek pakej rangsangan dapat diwujudkan bagi menangani COVID-19 di AS sebelum pilihan raya pada November itu.

Sementara itu di KLCI, Petronas Chemicals susut tujuh sen kepada RM5.93, Sime Darby Plantation turun lapan sen kepada RM4.89 manakala MISC berkurangan tujuh sen kepada RM6.75.

Top Glove sebaliknya menokok satu sen kepada RM8.71 dan Hartalega tidak berubah pada RM17.68.

Kaunter-kaunter berkaitan pengguna dan teknologi menyaksikan dagangan aktif pada awal dagangan dengan Dataprep dan Kanger International masing-masing menambah satu sen kepada 19.5 sen dan 18.5 sen.

Di papan indeks memaparkan prestasi Indeks FBM Emas yang susut 10.89 mata kepada 10,798.65, Indeks FBMT 100 kehilangan 11.99 mata kepada 10,607.55 dan Indeks FBM Emas Shariah susut 15.30 mata kepada 12.928.23.

FBM 70 sebaliknya naik 9.69 mata kepada 14.205.65 manakala FBM ACE turun 6.72 mata kepada 10.216.74.

Indeks Perkhidmatan Kewangan susut 12.53 mata kepada 12,293.95, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian berkurangan 0.41 mata kepada 143.82, Indeks Perladangan turun 24.74 mata kepada 6,935.63 manakala Indeks Penjagaan Kesihatan meningkat sebanyak 5.94 mata kepada 4.009.79.

— BERNAMA

MENARIK

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )