Bursa Malaysia dibuka rendah susulan sentimen lemah pada pagi

KUALA LUMPUR,. Bursa Malaysia dibuka rendah pagi ini daripada aliran meningkatnya minggu lepas berikutan sentimen berhati-hati yang muncul semula terhadap pertelingkahan perdagangan Amerika Syarikat (AS)-China dan mengehadkan minat risiko pelabur, kata para peniaga.

Pada 9.09 pagi, petunjuk pasaran FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 0.34 mata kepada 1,594.41 daripada paras penutup 1,594.75 pada Jumaat minggu lepas.

Petronas Chemicals, yang baru-baru ini mencatatkan keuntungan bersih rendah dalam suku ketiga yang berakhir 30 Sept, 2019, menyeret turun indeks sebanyak 1.98 mata selepas jatuh 14 sen kepada RM7.30 dengan 174,100 saham bertukar tangan.

Di keseluruhan pasaran, kaunter untung bagaimanapun mengatasi kaunter rugi sebanyak 172 berbanding 92, dengan 227 kaunter tidak berubah, 1,508 tidak diniagakan dan 17 yang lain digantung.

Jumlah dagangan berjumlah 194.73 juta saham bernilai RM72.48 juta.

Malacca Securities Sdn Bhd dalam nota penyelidikannya berkata keadaan di Bursa Malaysia pada dasarnya masih bercampur-campur dengan indek saham wajaran tinggi mendapat sokongan manakala saham kaunter berharga rendah dan saham keseluruhan pasaran stabil di tengah-tengah keadaan ia sedang meningkat.

“Kemungkinan masih akan ada minat terhadap saham Bursa Malaysia selepas saham global meningkat pada Jumaat lepas berikutan keyakinan terhadap perjanjian awal antara AS dan China.

“Kami merasakan trend positif dalam ekuiti global akan menular ke pasaran saham Malaysia bermula minggu ini kerana saham indeks utama bergerak seiring dengan kenaikan saham global dan ini akan menyediakan rangsangan baharu untuk ia mencabar paras ketahanan 1,600,” kata firma penyelidikan itu.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank meningkat satu sen kepada RM8.67, manakala kedua-dua CIMB dan IHH tidak berubah masing-masing pada RM5.22 dan RM5.35.

Tenaga susut dua sen kepada RM13.66 manakala Public Bank turun empat sen kepada RM19.86.

Dalam kalangan kaunter cergas, Sapura Energy, Bumi Armada, Netx, JAG dan XOX semuanya tidak berubah masing-masing pada 30 sen, 52.5 sen, 2.0 sen, 3.5 sen dan 4.5 sen, manakala WCE naik 2.5 sen kepada 41 sen.

Indeks FBM Emas meningkat 2.79 mata kepada 11,316.56, Indeks FBMT 100 naik 1.99 mata kepada 11,127.8 dan Indeks FBM Emas Shariah menambah 4.63 mata kepada 11,840.58.

FBM Ace naik 4.11 mata kepada 4,924.18 dan FBM 70 meningkat 20.34 mata kepada 14,115.82.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewagan susut 10.04 mata kepada 15,601.69, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian berkurangan 0.84 mata kepada 152.54 manakala Indeks Perladangan naik 19.12 mata kepada 6,947.66.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )