
Bursa Malaysia dibuka rendah tetapi meningkat kemudiannya
KUALA LUMPUR,. Bursa Malaysia dibuka rendah tetapi mendapat semula momentum meningkat kemudiannya berikutan aktiviti belian saham pada harga rendah, berikutan jualan besar-besaran semalam.
Pada 9.12 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) naik 2.29 mata kepada 1,553.93 daripada 1,551.64 semasa ditutup semalam, selepas dibuka rendah 0.01 mata kepada 1,551.63.
Suasana pasaran secara keseluruhan di Bursa Malaysia positif dengan kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 214 berbanding 158, manakala 196 kaunter kekal tidak berubah, 1,425 tidak diniagakan dan 21 yang lain digantung.
Jumlah dagangan sebanyak 300.27 juta saham bernilai RM141.90 juta.
Dalam nota, Malacca Securities Sdn Bhd berkata pelabur akan terus memantau perkembangan mengenai penularan Novel Koronavirus yang menyaksikan jumlah mangsa meningkat hampir kepada kadar yang membimbangkan.
Katanya jika virus tersebut tidak dikawal dalam masa terdekat, dijangka pasaran ekuiti global mencatatkan penurunan.
“Walaupun indeks utama telah menguji semula paras terendah dalam tempoh empat bulan, kami fikir aktiviti belian saham pada harga rendah boleh diberi keutamaan dalam persekitaran keadaan yang terlebih jual berikutan kemerosotan kira-kira 2.8 peratus dicatatkan pada minggu lepas.
“Pemulihan dijangka sederhana dengan kenaikan terhad kepada 1,575 pada masa ini. Bagaimanapun, jika paras sokongan 1,550 gagal bertahan, penurunan seterusnya boleh menyebabkan bursa tempatan berada pada paras sokongan 1,535,” katanya.
Mengenai saham wajaran tinggi, Maybank menambah dua sen kepada RM8.48, Public Bank naik enam sen kepada RM19.02, Tenaga susut enam sen kepada RM12.68 dan Petronas Chemicals berkurangan dua sen kepada RM6.62.
Saham aktif ialah Avillion, naik setengah sen kepada 16 sen, Careplus susut setengah sen kepada 39 sen dan Alam Maritim meningkat satu sen kepada 16.5 sen.
Indeks FBM Emas meningkat 8.26 mata kepada 11,077.90, Indeks FBM Emas Shariah merosot 18.54 mata kepada 11,777.40, Indeks FBMT 100 naik 8.52 mata kepada 10,874.81, FBM 70 susut 19.76 mata kepada 13,916.61 dan FBM Ace menambah 29.47 mata kepada 5,597.25.
Mengikut sektor, Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan susut 0.13 mata kepada 148.11, Indeks Perkhidmatan Kewangan meningkat 46.05 mata kepada 14,931.86 dan Indeks Perladangan turun 32.95 mata kepada 7,156.37.
— BERNAMA