Bursa Malaysia dibuka tinggi

KUALA LUMPUR,. Bursa Malaysia dibuka tinggi sedikit pada Selasa, didorong oleh minat belian di kaunter berkaitan tenaga, telekomunikasi dan utiliti.

Seorang peniaga berkata secara menyeluruh sentimen pasaran masih dalam keadaan bimbang ekoran ketidaktentuan membabitkan rundingan perdagangan AS-China selain situasi politik dalaman di Hong Kong.

Pada 9 pagi, penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 3.86 mata kepada 1,612.01 berbanding 1,608.15 pada penutupan Isnin.

Pada pembukaan, indeks utama dibuka 4.03 mata lebih tinggi pada 1,612.18.

Berdasarkan kedudukan pasaran secara menyeluruh, kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 114 berbanding 63, manakala 162 kaunter tidak berubah, 1,654 tidak diniagakan dan 19 yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 45.34 juta saham bernilai RM15.47 juta.

Peniaga itu berkata peserta pasaran kini memberi tumpuan kepada pengumuman Presiden Donald Trump minggu ini, sama ada beliau akan melengahkan keputusannya untuk mengenakan tarif ke atas kenderaan yang diimport dari Kesatuan Eropah untuk tempoh enam bulan lagi.

“Kebanyakan penganalisis menjangkakan beliau akan menangguhkan keputusan itu, sekurang-kurangnya ini dapat mengurangkan tekanan semasa yang dihadapi pelabur akibat perang perdagangan antara AS dan China,” katanya.

Sementara itu, dalam catatannya hari ini, Malacca Securities Sdn Bhd berkata petunjuk teknikal menunjukkan indeks utama akan terus merosot, dan saya menjangkakan indeks utama berkemungkinan terus disokong dan berada melepasi tahap psikologi 1,600 berdasarkan kemungkinan aktiviti memperkemas akaun menjelang akhir tahun, yang boleh meningkatkan indeks utama ke tahap 1,650.

“Pada masa yang sama, kami berpendapat bahawa akan berlaku pembetulan harian secara berterusan sebelum sokongan pada akhir dagangan untuk membantu indeks utama kekal melebihi tahap psikologi 1,600. Rintangan segera berada pada tahap 1,610, diikuti 1,620. Jika kurang daripada 1,600, sokongan dijangkakan kekal pada paras 1,590,” katanya.

Bagi saham wajaran tinggi, Maybank tidak berubah pada RM8.85, Tenaga naik enam sen kepada RM13.86, Public Bank susut empat sen kepada RM19.96 manakala Petronas Chemicals merosot satu sen kepada RM7.70.

Bagi saham untung, Cycle & Carriage Bintang melonjak 38 sen kepada RM1.67, Guan Chong meningkat 34 sen kepada RM1.06 dan Hong Leong Financial menambah 30 sen kepada RM17.40.

Bagi saham aktif, Sapura Energy tidak berubah pada 29 sen, AirAsia X naik satu sen kepada 17.5 sen manakala Fintec meningkat setengah sen kepada 6.5 sen.

Indeks FBM Emas meningkat 25.07 mata kepada 11,415.06, Indeks FBMT 100 menambah 25.11 mata kepada 11,230.12 manakala Indeks FBM Emas Syariah menokok 44.46 mata kepada 11,929.73.

FBM Ace menambah 4.32 mata kepada 4,888.98 dan FBM 70 meningkat 24.25 mata kepada 14,161.28.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan meningkat 18.39 mata kepada 15,795.78, Indeks Perladangan menambah 26.43 mata kepada 6,894.63 manakala Indeks Produk & Perkhidmatan Perindustrian menokok 0.05 mata kepada 155.50.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )