Bursa Malaysia dibuka tinggi

Bursa Malaysia dibuka tinggi

KUALA LUMPUR,. Bursa Malaysia bergerak lebih tinggi sedikit pada sesi urus niaga pagi ini, sejajar dengan prestasi positif Wall Street selepas kebimbangan terhadap usaha memerangi inflasi berkurangan berikutan penurunan harga minyak mentah, kata seorang peniaga.

Pada jam 9.05 pagi, indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 0.42 mata kepada 1,491.77 daripada penutup Rabu 1,491.35.

Namun begitu, indeks penanda aras dibuka 0.48 mata lebih rendah pada 1,490.87.

Di pasaran yang lebih luas, kaunter untung mengatasi kaunter rugi 192 berbanding 92, manakala 192 kaunter tidak berubah, 1,814 tidak diniagakan dan sembilan yang lain digantung.

Jumlah dagangan adalah sebanyak 108.54 juta unit bernilai RM58.30 juta.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd, Thong Pak Leng, berkata Purata DJI meningkat sebanyak 436 mata dan Nasdaq memperoleh 247 mata, manakala hasil 10 tahun Amerika Syarikat (AS) susut kepada di bawah 3.27 peratus.

“Memandangkan keuntungan yang dicatatkan oleh ekuiti AS, kami berpendapat sentimen di bursa tempatan akan bertambah baik, sekali gus menjangkakan indeks kemungkinan menguji paras 1,500 hari ini,” katanya kepada Bernama.

Beliau juga berkata, saham teknologi dijangka menarik sedikit minat belian hari ini selepas mempamerkan prestasi hambar sepanjang bulan lalu.

“Sementara itu, sektor perladangan dan tenaga diunjur mengalami sedikit tekanan jualan hari ini dengan harga minyak sawit mentah merosot kepada sekitar RM3,600 satu tan manakala minyak mentah Brent turun kepada AS$88 setong berikutan kebimbangan kemelesetan global,” katanya.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank dan Public Bank masing-masing menambah dua sen menjadi RM8.95 dan RM4.66, IHH Healthcare naik empat sen kepada RM6.24, manakala Petronas Chemicals susut 13 sen kepada RM8.87 dan CIMB kerugian dua sen untuk mencatatkan RM5.38.

Bagi saham aktif, Metronic Global dan SNS Network masing-masing meningkat setengah sen kepada 6.5 sen dan 26.5 sen, Sarawak Consolidated naik satu sen kepada 16 sen, Orgabio menokok tiga sen menjadi 35 sen manakala Hibiscus Petroleum lemah tiga sen kepada 97 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas mengukuh 9.03 mata kepada 10,594.40, Indeks FBMT 100 menambah 9.16 mata menjadi 10,342.46, Indeks FBM 70 lebih tinggi 36.49 mata kepada 12,716.46, Indeks FBM Emas Syariah meraih 7.95 mata menjadi 10,672.53 manakala FBM ACE memperoleh 8.43 mata kepada 4,782.05.

Mengikut sektor, Indeks Perladangan turun 15.24 mata kepada 7,013.59, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian susut 0.57 mata kepada 184.48, Indeks Tenaga jatuh 11.38 mata kepada 697.81 sementara Indeks Perkhidmatan Kewangan mengukuh 5.09 mata kepada 16,718.12.

–BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This