Bursa Malaysia dibuka tinggi

Bursa Malaysia dibuka tinggi

KUALA LUMPUR,. Bursa Malaysia dibuka lebih tinggi pagi ini, menjejaki pemulihan semula di Wall Street semalaman.

Bagaimanapun, persekitaran pasaran masih kekal berhati-hati menjelang keputusan kadar faedah Rizab Persekutuan AS (Fed) pada pertengahan minggu, kata seorang peniaga.

Pada jam 9.10 pagi, indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat sebanyak 4.17 mata untuk mencapai paras 1,455.69 berbanding penutupan urus niaga Isnin pada 1,451.52.

Indeks utama itu dibuka 2.90 mata lebih tinggi pada 1,454.42.

Bursa Malaysia dibuka lebih tinggi
Di pasaran yang lebih luas, kaunter untung mengatasi kaunter rugi 214 berbalas 84, manakala 194 kaunter tidak berubah, 1,874 tidak diniagakan dan sembilan yang lain digantung.

Jumlah dagangan adalah sebanyak 130.26 juta unit bernilai RM66.25 juta.

Menurut Malacca Securities Sdn Bhd, FBM KLCI merosot, begitu juga pergerakan di bursa serantau lain semalam berikutan kebimbangan berlaku kemelesetan global dalam situasi kenaikan kadar faedah.

“Kami percaya bursa tempatan akan terus tidak menentu sekurang-kurangnya sehingga mesyuarat Fed pada pertengahan minggu di tengah-tengah jangkaan yang kian meningkat untuk keputusan dasar monetari yang cenderung untuk menaikkan kadar faedah,” katanya dalam satu nota penyelidikan pagi ini.

Sementara itu, kebimbangan terhadap kemelesetan global mungkin terus mempengaruhi harga komoditi, tambahnya.

Untuk komoditi pula, harga minyak mentah kini berlegar sekitar paras AS$92 setong, manakala harga minyak sawit mentah (MSM) susut semula daripada RM3,700.

Firma pembrokeran itu berkata, dengan pemulihan sedikit di Wall Street semalaman, aktiviti memburu saham murah dijangka muncul dalam saham teknologi, sekurang-kurangnya untuk sesi hari ini.

“Kami juga berpihak kepada saham terpilih di bawah sektor tenaga kerana harga minyak Brent masih berlegar sekitar AS$92. Selain itu, pelabur mungkin memberi tumpuan kepada sektor perbankan dalam keadaan persekitaran kitaran naik kadar faedah,” tambahnya.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Public Bank menambah tiga sen kepada RM4.48, CIMB Bank naik enam sen menjadi RM5.48 dan IHH Healthcare lebih tinggi sebanyak satu sen kepada RM6.17.

Sebaliknya, Petronas Chemicals susut satu sen kepada RM8.58 manakala Maybank tidak berubah pada RM8.63.

Bagi saham aktif, syarikat yang mula membuat penampilan sulung di Pasaran Utama, AME REIT naik lima sen kepada RM1.18, Orgabio Holdings meningkat setengah sen menjadi 37.5 sen, Top Glove turun setengah sen kepada 70 sen manakala Metronic dan UMedic tidak berubah, masing-masing pada dua sen dan 75.5 sen.

Di papan indeks, FBM Emas meraih 36.97 mata menjadi 10,398.21, Indeks FBMT 100 memperoleh 33.47 mata kepada 10,136.92, Indeks FBM Emas Syariah mengembang 30.54 mata kepada 10,482.01, FBM 70 menokok 59.22 mata kepada 12,643.11 dan FBM ACE menambah 1.91 mata menjadi 4,761.31.

Mengikut sektor, Indeks Tenaga adalah 7.4 mata lebih tinggi pada 730.88, Indeks Perladangan meningkat 21.22 mata kepada 6,895.15, Indeks Perkhidmatan Kewangan menambah 52.35 mata menjadi 16,421.97 dan Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian naik kepada 178.62.

–BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This