
Bursa Malaysia dibuka tinggi
KUALA LUMPUR,. Bursa Malaysia dibuka tinggi hari ini apabila aktiviti belian saham berharga rendah muncul bagi mencari saham yang mencatatkan penurunan semalam, di tengah-tengah kekukuhan pasaran saham Amerika Syarikat (AS) yang ditutup di paras tinggi baharu berikutan laporan sebahagian daripada perjanjian perdagangan AS-China akan dimeterai pada Januari 2020, kata penganalisis.
Pada 9.10 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) naik 2.92 mata atau 0.18 peratus kepada 1,572.27 daripada paras penutup 1,569.35 pada Isnin.
Indeks utama itu dibuka 2.52 mata lebih tinggi kepada 1,1571.87.
Suasana pasaran positif apabila kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 152 berbanding 105, manakala 2,096 kaunter kekal tidak berubah, 1,535 tidak diniagakan dan 16 yang lain digantung.
Jumlah dagangan berjumlah 156.22 juta saham bernilai RM71.05 juta.
Di AS, Dow Jones Industrial Average meningkat 0.4 peratus, Indeks S&P 500 naik 0.7 peratus dengan 10 daripada 11 sektor ditutup tinggi, manakala Nasdaq ditutup tinggi pada 0.9 peratus.
Malacca Securities Sdn Bhd berkata susulan aktiviti pengambilan untung segera di FBM KLCI semalam, indeks petunjuk pasaran itu dijangka meningkat lebih tinggi tetapi dengan kenaikan yang terhad.
Ini disebabkan oleh dana asing yang terus menjual ekuiti Malaysia yang merupakan minggu keenam berturut-turut berlakunya aliran keluar dana asing.
“Kami merasakan indeks utama akan stabil berada dalam jajaran antara paras 1,558-1,579 pada masa akan datang.
“Dalam pada itu, paras 1,550 akan kekal sebagai sokongan utama. Sekiranya paras 1,579 dilepasi, aktiviti mengelokkan akaun yang sederhana mungkin merangsang indeks utama itu ke arah paras ketahanan pada paras 1,590,” kata firma pembrokeran saham itu dalam satu nota penyelidikan.
Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank naik dua sen kepada RM8.54, Tenaga meningkat empat sen kepada RM13.10, Public Bank tidak berubah pada RM18.84, Petronas Chemicals turun lima sen kepada RM7.10 dan CIMB menokok satu sen kepada RM5.27.
Dalam kalangan saham cergas, JKGLand naik setengah sen kepada 8.5 sen, manakala Ekovest dan RSawit susut satu sen setiap satu masing-masing kepada 87.5 sen dan 34 sen.
Dalam kalangan kaunter untung utama, F&N meningkat 46 sen kepada RM33.80, Nestle naik 40 sen kepada RM144.70 dan KLK menambah 22 sen kepada RM24.72.
Indeks FBM Emas meningkat 16.66 mata kepada 11,198.95, Indeks FBM Emas Shariah menambah 21.68 mata kepada 11,852.35 manakala Indeks FBMT 100 naik 17.03 mata kepada 10,994.40.
Sementara itu, FBM Ace menokok 35.50 mata kepada 4,985.84 dan FBM 70 menambah 7.80 mata kepada 14,033.45.
Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan meningkat 20.89 mata kepada 15,255.70, Indeks Perladangan naik 56.50 mata kepada 7,562.57 tetapi Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian jatuh 0.35 mata kepada 152.30
— BERNAMA