Bursa Malaysia dibuka tinggi

Bursa Malaysia dibuka tinggi

KUALA LUMPUR,. Bursa Malaysia dibuka tinggi hari ini susulan kemunculan aktiviti belian saham berharga rendah secara menyeluruh.

Pada 9.08 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 0.29 mata kepada 1,596.30 berbanding 1,596.01 pada penutupan Khamis.

Indeks dibuka 2.26 mata lebih tinggi kepada 1,1598.27.

Berdasarkan kedudukan pasaran secara menyeluruh, kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 137 berbanding 97, manakala 190 kaunter tidak berubah, 1,581 tidak diniagakan dan 43 yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 106.04 juta saham bernilai RM88.45 juta.

Ketua Strategi Pasaran, Axi Trader Asia-Pasifik Stephen Innes berkata Wall Street mencatatkan rekod tertinggi baharu apabila pelabur mengabaikan proses pendakwaan presiden, selain gembira selepas setiausaha negara Amerika Syarikat (AS) Steven Mnuchin menyatakan bahawa ‘fasa pertama’ Perjanjian perdagangan China sudah selesai.

Menurut Mnuchin, Amerika Syarikat dan China akan menandatangani perjanjian itu selepas Tahun Baharu, dan tidak lagi tertakluk kepada rundingan semula, yang menghapuskan segala keraguan dalam pasaran setakat yang melibatkan segmen rundingan perdagangan berkenaan.

“Ya, persepakatan perjanjian ‘fasa satu’ antara AS dan China melegakan banyak ketidaktentuan dalam unjuran untuk 2020, dan dengan pertumbuhan perdagangan dijangkakan semakin baik, pelabur ekuiti lega menjelang cuti perayaan.

“Penurunan risiko global dan unjuran pertumbuhan yang lebih baik kini meningkatkan keyakinan pelabur. Secara signifikannya ia akan mengurangkan tahap negatif dalam premium jangka panjang, yang akan membebaskan lebih banyak wang daripada lindung nilai defensif, yang akan memasuki pasaran ekuiti, walaupun pada lewat tahun,” katanya dalam nota hari ini.

Sementara itu, Malacca Securities Sdn Bhd menjangkakan FBM KLCI akan bergerak lebih tinggi, meneruskan aktiviti memperelok akaun hari ini, untuk menguji tahap psikologi 1,600, dan menuju ke tahap rintangan 1,614.

Firma pembrokeran saham itu berkata sokongan akan ditambat pada tahap 1,580.

Bagi saham wajaran tinggi, MISC yang muncul sebagai saham paling untung, meningkat 14 sen kepada RM8.50, Maybank menambah lima sen kepada RM8.75, Public Bank naik 10 sen kepada RM19.72, manakala Hong Leong Bank turun 36 sen kepada RM17.24 dan Petronas Gas susut 28 sen kepada RM16.52.

Bagi saham cergas, Inari menambah lima sen kepada RM1.66, Dynaciate tidak berubah pada 7.5 sen dan Yong Tai menokok setengah sen kepada 18 sen.

Saham lain yang turut mencatat keuntungan terdiri daripada Litrak yang meningkat 14 sen kepada RM4.70 serta Revenue meningkat 12 sen kepada RM1.38.

Kaunter paling rugi, Nestle susut RM1.40 kepada RM145.60 diikuti oleh Hong Leong Bank, manakala Hong Leong Industries susut 34 sen kepada RM10.02

Indeks FBM Emas meningkat 7.54 mata kepada 11326.92, Indeks FBM Emas Shariah mengukuh 1.49 mata kepada 11,912.21 manakala Indeks FBMT 100 menokok 7.80 mata kepada 11,131.61.

FBM Ace bagaimanapun turun 7.06 mata kepada 4,988.79, namun FBM 70 menambah 33.62 mata kepada 14,082.23.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan meningkat 16.43 mata kepada 15,638.30, Indeks Perladangan turun 11.30 mata kepada 7,524.44 manakala Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian turun 0.32 mata kepada 152.67.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This