Bursa Malaysia dibuka tinggi

Bursa Malaysia dibuka tinggi

KUALA LUMPUR,. Minat belian baharu membabitkan saham wajaran tinggi terpilih, di tengah-tengah prestasi positif dalam kalangan bursa serantau lain mendorong Bursa Malaysia dibuka tinggi pagi ini.

Pada 9.44 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) mengukuh 6.77 mata kepada 1,403.00 daripada 1,396.23 pada penutupan Khamis.

Indeks utama dibuka pada paras 1,399.53, meningkat 3.30 mata.

Pergerakan harga di pasaran juga positif menyaksikan kaunter untung mengatasi kaunter rugi 356 berbalas 185, manakala 315 kaunter tidak berubah, 1,401 tidak diniagakan dan 14 yang lain digantung.

Jumlah dagangan 801.82 juta unit bernilai RM279.81 juta.

Menurut Malacca Securities dalam nota penyelidikannya hari ini, pasaran tempatan dijangka terus pulih kerana dana asing kini telah bertukar kedudukan menjadi pembeli bersih sejak dua hari lalu.

“Saham berharga murah pula dilihat terus membina momentum pemulihan masing-masing, mengambil kesempatan daripada sentimen pasaran yang positif. Dengan tekanan inflasi yang semakin reda di Amerika Syarikat (AS), pergerakan menaik boleh kekal dalam tempoh terdekat.

“Memandangkan prestasi semalaman Nasdaq yang begitu baik, kami terus memihak kepada sektor teknologi,” katanya.

Sementara itu, ia menambah harga minyak sawit mentah (MSM) yang lebih kukuh dan pemulihan permintaan dari India seharusnya meningkatkan sektor perladangan.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank, Public Bank dan Tenaga Nasional masing-masing menambah 3.0 sen untuk mencatatkan harga RM8.76, RM3.95 dan RM9.13, CIMB melonjak 7.0 sen kepada RM5.27 manakala IHH Healthcare tidak berubah pada RM5.77.

Bagi saham aktif, Classita menokok 2.0 sen kepada 16 sen, KNM Group lebih tinggi 1.0 sen menjadi 9.0 sen, Widad Group peroleh setengah sen kepada 42.5 sen dan Naim Holdings naik 6.0 sen kepada 90.5 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas mengembang 49.99 mata kepada 10,352.22, Indeks FBMT 100 meningkat 50.11 mata untuk mencatatkan paras 10,039.37 dan Indeks FBM ACE mengukuh 51.33 mata kepada 5,263.85,

Indeks FBM 70 pula menambah 75.38 mata kepada 13,680.35 manakala Indeks FBM Emas Syariah meningkat 36.15 mata kepada 10,620.08.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan melonjak 104.53 mata kepada 15,649.69, Indeks Perladangan meningkat 2.52 mata menjadi 6,898.19 dan Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian memperoleh 0.22 mata untuk mencatatkan 161.29, manakala Indeks Tenaga meraih 8.66 mata kepada 819.84.

–BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This