Bursa Malaysia dibuka tinggi
KUALA LUMPUR,. Bursa Malaysia meneruskan peningkatan semalam apabila dibuka lebih tinggi pada pagi ini, seiring dengan prestasi pasaran saham serantau susulan sentimen pasaran yang positif.
Pada 9.05 pagi, indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) naik 3.1 mata kepada 1,590.98 daripada 1,587.77 sewaktu ditutup pada Khamis.
Indeks itu dibuka susut 0.94 mata pada 1,586.96 namun meningkat dalam tempoh dua minit selepas dagangan dibuka selepas pelabur mengambil petunjuk prestasi kukuh Wall Street dengan indeks S&P mencatatkan paras tertinggi baharu.
Sentimen pasaran secara menyeluruh di bursa tempatan adalah positif dengan kaunter untung mengatasi kaunter rugi iaitu 162 berbanding 77 manakala 191 kaunter tidak berubah, 1,537 tidak diniagakan dan 24 yang lain digantung.
Jumlah dagangan sebanyak 136.12 juta saham bernilai RM52.23 juta.
Sementara itu, Malacca Securities Sdn Bhd dalam satu nota penyelidikan berkata Bursa Malaysia berkemungkinan besar terus mencatat peningkatan dan mengakhiri dagangan minggu ini secara lebih positif.
“Susulan jangkaan peningkatan tersebut ketika pelabur meneruskan usaha membeli saham berharga rendah, FBM KLCI mungkin didagangkan tinggi dengan indeks utama mencatat prestasi seiring pengukuhan dicatatkan ekuiti global sebelum ini,” kata firma penyelidikan itu.
Firma itu turut mengunjurkan peningkatan semula yang sederhana itu mungkin mendorong indeks utama untuk menguji tahap 1,590, dan seterusnya tahap psikologi 1,600 manakala paras sokongan pada 1,565 kekal dan diikuti 1,550.
Saham-saham berharga rendah dan saham di pasaran lebih luas dijangka kekal tidak banyak berubah selepas mencatat kenaikan baru-baru ini.
“Namun, pemerhatian kami menunjukkan minat dagangan yang lebih ketara membabitkan saham-saham pembinaan dan bahan binaan,” katanya.
Saham wajaran tinggi menyaksikan Maybank dan Petronas Chemicals masing-masing untung satu sen kepada RM8.62 dan RM7.07, Public Bank naik 14 sen kepada RM19.70, Tenaga meningkat enam sen kepada RM12.96 manakala CIMB dan IHH Healthcare tidak berubah pada RM5 .17 dan RM5.58.
Bagi saham aktif, Vortex dan Alam Maritim meningkat masing-masing setengah sen kepada 12.5 sen dan 16 sen, Sapura Energy naik satu sen kepada 28 sen, Yong Tai, Icon dan Hubline pula masing-masing tidak berubah pada 14.5 sen, 3.5 sen dan empat sen.
Indeks Indeks indeks FBM Emas naik 21.11 mata kepada 11,336.81, Indeks FBM Emas Shariah menokok 17.91 mata kepada 11,965.41, Indeks FBMT 100 bertambah 20.18 mata kepada 11,125.18, FBM 70 naik 19.72 mata kepada 14,200.42 dan FBM Ace menambah 3.08 mata kepada 5,589.11.
Mengikut sektor, Indeks Produk dan Perkhidmatan Industri meningkat 0.22 mata kepada 154.23, Indeks Perkhidmatan Kewangan naik 38.68 mata kepada 15,439.33 dan Indeks Perladangan menokok 13.77 mata kepada 7,533.19.
— BERNAMA