Bursa Malaysia dibuka tinggi
KUALA LUMPUR,. Bursa Malaysia dibuka tinggi sedikit pada Selasa, mengambil petunjuk prestasi semalaman Wall Street yang positif.
Seorang peniaga berkata, pelabur terus optimistik Rizab Persekutuan (Fed) mungkin kurang agresif dengan pelarasan kadar semasa mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) minggu depan.
Pada 9.06 pagi, FBM KLCI naik 0.04 mata kepada 1,406.14 daripada 1,406.10 pada penutup Isnin.
Indeks utama mengukuh 1.44 mata untuk mencatatkan paras 1,407.54 ketika memulakan dagangan pagi ini.
Pergerakan harga di pasaran juga positif, menyaksikan kaunter untung mengatasi kaunter rugi 146 berbalas 144, manakala 255 kaunter tidak berubah, 1,741 tidak diniagakan dan 14 yang lain digantung.
Jumlah dagangan 237.03 juta unit bernilai RM81.68 juta.
Menurut Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd, Thong Pak Leng, FBM KLCI merosot kepada 1,406 berikutan kegiatan pengambilan untung selepas mempamerkan prestasi kukuh sejak beberapa hari lalu.
“Untuk hari ini, kami menjangkakan sentimen akan kekal berhati-hati sejajar pergerakan serantau yang mungkin bercampur-campur, sekali gus menjangkakan indeks akan berlegar dalam julat 1,400 hingga 1,410,” katanya kepada Bernama.
Sementara itu, beliau menambah harga minyak mentah turun disebabkan ekonomi China yang kurang menggalakkan dengan minyak mentah Brent, ditutup di bawah paras AS$79 setong.
“Justeru, kita mungkin menyaksikan sektor minyak dan gas akan mengalami sedikit tekanan hari ini,” tambahnya.
Dalam kalangan saham wajaran tinggi, IHH Healthcare menambah tiga sen kepada RM5.83, Public Bank dan CIMB masing-masing kekal pada RM3.99 dan RM5.29 manakala Maybank turun dua sen kepada RM8.83 dan Tenaga Nasional lemah satu sen untuk mencatatkan harga RM9.12.
Bagi saham aktif, Classita Holdings mengukuh 2.5 sen kepada 25 sen, Advance Synergy menambah satu sen kepada 17.5 sen, UEM Sunrise menokok setengah sen kepada 39 sen manakala Tanco kekal pada 55.5 sen dan Ta Win rendah setengah sen kepada 4.5 sen.
Di papan indeks, Indeks FBM Emas meningkat 1.78 mata kepada 10,416.84, Indeks FBMT 100 memperoleh 1.56 mata menjadi 10,096.77 manakala Indeks FBM 70 meraih 7.55 mata kepada 13,906.26.
Indeks FBM Emas Syariah mengembang 9.75 mata kepada 10,696.21 dan Indeks FBM ACE meningkat 4.77 mata kepada 5,339.41.
Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan kerugian 23.69 mata kepada 15,729.90 dan Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian berkurangan 0.04 mata menjadi 161.52, manakala Indeks Perladangan mengukuh 26.28 mata kepada 6,905.10 dan Indeks Tenaga mengembang 1.13 mata kepada 813.62.
–BERNAMA