Bursa Malaysia dibuka tinggi

Bursa Malaysia dibuka tinggi

KUALA LUMPUR,. Bursa Malaysia dibuka tinggi di semua papan hari ini didorong sentimen berubah positif menjelang pengumuman data perdagangan China bagi Mac 2020.

Pada 9.06 pagi, indeks yang menjadi penanda aras, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) naik 5.13 mata kepada 1,361.16 daripada 1,356.03 ketika ditutup semalam.

Indeks utama itu dibuka 4.98 mata lebih kukuh pada 1,361.01.

Lingkungan pasaran adalah positif dengan kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 217 berbanding 70, manakala 162 kaunter tidak berubah, 1,456 kaunter tidak diniagakan dan 19 yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 328.39 juta bernilai RM63.76 juta.

Peniaga berkata pelabur di rantau ini memantau rapat data perdagangan dari China, yang dijadualkan dikeluarkan hari ini, berbanding mengambil petunjuk daripada musim pelaporan pendapatan yang tidak menentu di Amerika Syarikat (AS).

“Hasil daripada data itu akan menyediakan pemangkin pasaran yang baharu bagi ekuiti Asia,” katanya.

Pasaran menjangkakan data perdagangan China menunjukkan penurunan daripada 14 peratus pada Mac setahun lepas susulan penyusutan 17.2 peratus pada Februari.

Import diunjurkan mencatatkan corak penurunan pada -8.0 peratus.

Sementara itu, Malacca Securities Sdn Bhd berkata berdasarkan situasi pasaran yang kini berubah lagi, FBM KLCI mungkin meneruskan prestasi tidak banyak berubah dengan kecenderungan rendah pada jangka terdekat.

“Buat masa ini, kami terus berpandangan paras psikologi 1,300 sebagai sokongan utama manakala 1,370 kekal sebagai rintangan segera, diikuti paras 1,400,” kata firma pembrokeran itu dalam nota penyelidikan.

Bagi saham berwajaran tinggi, Tenaga naik enam sen kepada RM12.10, Maxis menokok tiga sen kepada RM5.32, Petronas Chemicals meningkat empat sen kepada RM4.86, CIMB menambah satu sen kepada RM3.51, manakala Public Bank dan IHH Healthcare masing-masing tidak berubah pada RM15.84 dan RM5.11.

Maybank, bagaimanapun, susut dua sen kepada RM7.43.

Bagi saham aktif, Lambo dan Vortex masing-masing naik setengah sen kepada 1.5 sen dan sembilan sen, Minetec menokok 1.5 sen kepada 24.5 sen, K-One meningkat 4.5 sen kepada 18 sen manakala Hubline kekal pada 4.5 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas meningkat 42.52 mata kepada 9,400.56, Indeks FBMT 100 menokok 41.5 mata kepada 9,299.85, FBM 70 menambah 75.85 mata kepada 10,970.48, Indeks FBM Emas Syariah naik 64.51 mata kepada 10,396.1 dan FBM Ace melonjak 73.08 mata kepada 4,084.09.

Mengikut sektor, Indeks Perladangan naik 28.97 mata kepada 6,233.77, Indeks Barangan dan Perkhidmatan Perindustrian menambah 0.39 mata kepada 109.26 dan Indeks Perkhidmatan Kewangan susut 3.76 mata kepada 12,224.42.

-BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This