Bursa Malaysia dibuka tinggi

Bursa Malaysia dibuka tinggi

KUALA LUMPUR,. Bursa Malaysia dibuka tinggi hari ini, meneruskan kenaikan semalam dengan menjejaki prestasi kukuh Wall Street dalam tempoh semalaman yang didorong permintaan terhadap saham teknologi.

Nasdaq merekodkan prestasi penutupan yang tinggi susulan pelabur menumpukan saham teknologi yang boleh mencapai prestasi tinggi dalam keadaan jangkitan COVID-19 semakin ketara di kira-kira 30 negeri Amerika Syarikat.

Pada 9.05 pagi, petunjuk pasaran, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 0.78 mata kepada 1,584.28 daripada 1,583.50 ketika ditutup semalam.

Indeks utama itu dibuka 0.44 mata lebih tinggi kepada 1,583.94.

Keseluruhan lingkungan pasaran adalah positif dengan kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 273 berbanding 110 manakala 310 kaunter tidak berubah, 1,241 kaunter tidak diniagakan dan 26 yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 828.92 juta saham bernilai RM182.33 juta.

Rakuten Trade Sdn Bhd berkata Wall Street ditutup tinggi keseluruhannya didorong oleh mudah tunai yang meningkat walaupun jumlah kes COVID-19 di Amerika Syarikat melepasi tiga juta.

Purata Perindustrian Dow Jones naik hampir 180 mata untuk ditutup melebihi paras 26,000 sekali lagi dalam keadaan turun naik ketara.

“Pasaran serantau dijangka terus mencatatkan prestasi bercampur-campur dengan beberapa kecenderungan untuk meningkat hari ini memandangkan bursa China meneruskan kenaikan kukuhnya.

“Di peringkat tempatan kami mengunjurkan FBM KLCI yang sukar untuk mencapai kenaikan setakat ini akan menguji paras 1,600 didorong oleh mudah tunai yang tinggi berikutan pengurangan kadar faedah yang diumumkan pada Selasa,” menurut firma pembrokeran itu dalam nota penyelidikannya.

Dalam kalangan saham berwajaran tinggi, Maybank naik tiga sen kepada RM7.94, Public Bank menokok empat sen kepada RM18.04 dan Hartalega menambah enam sen kepada RM16.48.

Top Glove turun enam sen kepada RM20.48 dan Tenaga tidak berubah pada RM11.56.

Antara saham paling aktif, Eduspec dan Fintec Global masing-masing meningkat setengah sen kepada 2.5 sen dan 9.5 sen manakala MQ Technology dan DGB Asia masing-masing menambah satu sen kepada 10 sen dan enam sen sementara Vortex tidak berubah pada lapan sen.

Di papan indeks, FBM Emas meningkat 17.64 mata kepada 11,144.21, Indeks FBMT 100 menokok 15.61 mata kepada 10,991.06 dan Indeks FBM Emas Syariah naik 14.21 mata kepada 12,717.08.

FBM 70 meningkat 60.03 mata kepada 13,658.22 sementara FBM ACE melonjak 106.85 mata kepada 7,235.49.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan meningkat 50.90 mata kepada 13,505.91, Indeks Produk dan Perkhidmatan Industri naik 0.04 mata kepada 140.97 dan Indeks Perladangan menokok 5.18 mata kepada 6,892.37.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This