Bursa Malaysia dibuka tinggi

Bursa Malaysia dibuka tinggi

KUALA LUMPUR,. Bursa Malaysia dibuka tinggi hari ini, menjejaki kenaikan bursa serantau di tengah-tengah sentimen positif setelah Amerika Syarikat (AS) dan China mencapai persefahaman untuk menghentikan sementara perang perdagangan antara mereka pada Jumaat lepas.

AS menangguhkan kenaikan tarif minggu ini ke atas eksport China bernilai US$250 bilion yang ditetapkan bagi penghantaran ke AS sebagai sebahagian “fasa pertama” persefahaman perdagangan itu.

Pada 9.05 pagi, penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) naik 8.05 mata kepada 1,564.89 daripada 1,556.84 ketika ditutup pada Jumaat lepas.

Indeks penanda aras dibuka 5.81 mata lebih tinggi kepada 1,562.65.

Bagi pasaran lebih meluas, kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 243 berbanding 64, manakala 156 kaunter tidak berubah, 1,535 kaunter tidak diniagakan dan 42 yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 174.62 juta saham bernilai RM914.66 juta.

Malacca Securities Sdn Bhd berkata ia menjangkakan peningkatan lebih mendadak dicatatkan dalam kalangan ekuiti Malaysia pada permulaan minggu di tengah-tengah kemajuan yang dicapai dalam kemelut perdagangan AS-China yang juga akan menambah baik sentimen pasaran jangka pendek.

“Walaupun pengumuman Belanjawan 2020 dilihat secara keseluruhannya neutral bagi korporat selain tiada kejutan yang tidak diingini, maka pada pandangan kami ia akan membantu menyediakan beberapa langkah kestabilan kepada ekuiti,” menurutnya dalam nota penyelidikan hari ini.

Firma penyelidikan itu berkata ia juga menjangkakan prestasi saham pasaran meluas dan saham murah akan terus meningkat memandangkan sentimen pasaran adalah lebih baik sekali gus boleh mendorong lagi aktiviti perdagangan jangka terdekat.

Dalam kalangan saham berwajaran tinggi, Maybank dan Tenaga masing-masing naik enam sen kepada RM8.50 dan RM13.94, Public Bank meningkat 10 sen kepada RM19.18, Petronas Chemicals menokok satu sen kepada RM7.24 manakala IHH Healthcare menambah tiga kepada RM5.68.

Bagi saham aktif, Bumi Armada naik satu sen kepada 39 sen, AME Elite meningkat tiga sen kepada RM1.33, Ekovest menambah 2.5 sen kepada 82.5 sen manakala NetX Holdings kekal tidak berubah pada dua sen.

Indeks FBM Emas meningkat 62.81 mata kepada 11,140.62, Indeks FBMT 100 naik 60.92 mata kepada 10,956.36 dan Indeks FBM Emas Syariah menambah 60.97 mata kepada 11,777.34.

FBM 70 melonjak 96.60 mata kepada 14,040 dan FBM Ace meningkat 23.10 mata kepada 4,642.23.

NMengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan meningkat 76.36 mata kepada 15,066.69, Indeks Perladangan naik 22.10 mata kepada 6,562.99 manakala Indeks Barangan dan Perkhidmatan Perindustrian menambah 0.27 mata kepada 150.70.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This