Bursa Malaysia dibuka tinggi

Bursa Malaysia dibuka tinggi

KUALA LUMPUR,. Bursa Malaysia dibuka tinggi pada Rabu selepas cuti sehari sempena sambutan perayaan Aidiladha, mengambil petunjuk daripada prestasi semalaman Wall Street yang lebih baik.

Pasaran saham Amerika Syarikat meningkat semula selepas kemerosotan di peringkat global pada Isnin, berikutan tumpuan pelabur beralih kepada pertumbuhan ekonomi dan tidak memberi penekanan kepada kebimbangan mengenai penularan COVID-19 varian Delta, kata peniaga.

Pada 9.05 pagi, petunjuk pasaran FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) naik 0.64 mata kepada 1,520.61 daripada 1,519.97 semasa ditutup pada Isnin.

Indeks dibuka tinggi 1.40 mata kepada 1,521.37.

Bagaimanapun, suasana pasaran negatif dengan kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 175 berbanding 160, manakala 309 kaunter tidak berubah, 1,599 tidak diniagakan dan 18 yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 261.32 juta unit bernilai RM150.66 juta.

Malacca Securities Sdn Bhd berkata FBM KLCI merosot pada Isnin berikutan aktiviti pengambilan untung pada saat-saat akhir sebelum cuti umum Aidiladha, mencerminkan penurunan dalam pasaran serantau.

Bagaimanapun, katanya minat belian wujud dalam sektor yang dijangka mencatat pemulihan yang terpilih selepas Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) ditamatkan di Selangor dan Kuala Lumpur.

“Walaupun Wall Street meningkat semula, kami menjangka aktiviti penjualan awal di bursa tempatan sebelum pulih pada sesi berkenaan.

“Bagaimanapun, kenaikan dijangka dihadkan dalam situasi jumlah kes COVID-19 harian yang tinggi, yang boleh menjadi kebimbangan dan menjejaskan kadar pemulihan ekonomi,” menurut firma broker itu.

Bagi sektor yang menjadi tumpuan, katanya dengan pemulihan di Nasdaq, dijangka saham teknologi mendapat tarikan pada minggu ini.

“Selain itu, dijangka terdapat minat belian dalam sektor seperti pengguna, pembinaan dan hartanah berikutan PKPD telah ditamatkan di beberapa kawasan,” katanya.

Daripada saham wajaran tinggi, Maybank naik dua sen kepada RM8.05, Petronas Chemicals menambah lima sen kepada RM8.05, TNB dan IHH Healthcare, masing-masing meningkat satu sen kepada RM9.77 dan RM5.76, manakala Public Bank tidak berubah pada RM4.04.

Dalam kalangan saham aktif, Kumpulan Haily yang mula disenaraikan di Pasaran ACE naik sembilan sen kepada 77 sen, Ramssol Group meningkat 4.5 sen kepada 71.5 sen, waran Pasukhas menambah 2.5 sen kepada 71.5 sen.

Pasukhas susut 1.5 sen kepada sembilan sen manakala Sapura Energy tidak berubah pada 12 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas naik 6.91 mata kepada 11,119.38, Indeks FBMT 100 meningkat 7.18 mata kepada 10,822.95 dan FBM ACE menambah 20.55 mata kepada 7,279.76.

Indeks FBM Emas Shariah naik 10.71 mata kepada 12,200.04 dan FBM 70 menokok 20.10 mata kepada 14,539.39.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan naik 10.49 mata kepada 14,882.41, Indeks Perladangan menambah 5.31 mata kepada 6,240.20 serta Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan menambah 0.52 mata kepada 188.91.

– Bernama

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )