Bursa Malaysia dibuka tinggi

Bursa Malaysia dibuka tinggi

KUALA LUMPUR,. Bursa Malaysia dibuka tinggi pada Khamis, seiring dengan prestasi semalaman lebih baik yang dicatatkan Wall Street.

Pada 9.05 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) yang menjadi penanda aras pasaran meningkat 4.21 mata kepada 1,520.73 daripada 1,516.52 ketika ditutup pada Rabu.

Indeks itu dibuka 2.48 mata lebih tinggi kepada 1,519.0.

Kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 233 berbanding 111, manakala 236 kaunter tidak berubah, 1,664 kaunter tidak diniagakan dan 26 yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 293.24 juta unit bernilai RM118.68 juta.

Malacca Securities Sdn Bhd menjelaskan ia yakin kes COVID-19 yang tinggi mungkin mengalihkan tumpuan para pelabur kepada sektor penjagaan kesihatan manakala di pasaran meluas, sentimen dijangka kekal suram jika tiada pemangkin baharu.

Pelabur juga mungkin meneliti data kadar inflasi Malaysia yang akan dikeluarkan esok, menurutnya dalam nota penyelidikan.

“Di peringkat tempatan, saham teknologi dijangka menjejaki prestasi positif Nasdaq dalam tempoh semalaman menjelang tempoh pelaporan di Amerika Syarikat.

“Selain itu, pelabur mungkin membeli saham dalam sektor penjagaan kesihatan menjelang tempoh pelaporan, dengan ia didorong jangkaan prestasi kewangan yang kukuh dalam keadaan kes COVID-19 harian yang tinggi,” jelasnya.

Dalam kalangan saham berwajaran tinggi, IHH Healthcare naik empat sen kepada RM5.78, Hong Leong Financial Group meningkat 20 sen kepada RM17.78, TNB dan MISC masing-masing menambah tiga sen kepada RM9.74 dan RM6.83, Top Glove menokok dua sen kepada RM4.18 dan TM turun tiga sen kepada RM5.99.

Antara saham aktif, Pasukhas meningkat satu sen kepada 12 sen, Dagang Nexchange naik 1.5 sen kepada 76.5 sen, CWG melonjak 15.5 sen kepada 62.5 sen, Sapura Energy menokok setengah sen kepada 13 sen, sementara Borneo Oil, Kanger dan Serba Dinamik masing-masing tidak berubah pada tiga sen, 7.5 sen dan 43 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas meningkat 35.83 mata kepada 11,139.17, Indeks FBMT 100 naik 34.84 mata kepada 10,841.01 dan FBM ACE menambah 64.32 mata kepada 7,367.19.

Indeks FBM Emas Shariah meningkat 39.49 mata pada 12,255.44 dan FBM 70 naik 65.89 mata kepada 14,630.82.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan menambah 46.88 mata kepada 14,841.12, Indeks Perladangan naik 10.24 mata kepada 6,183.65 serta Indeks Produk dan Perkhidmatan Industri menokok 0.32 mata kepada 188.67.

– Bernama

CATEGORIES
TAGS
Share This