Bursa Malaysia dibuka tinggi

Bursa Malaysia dibuka tinggi

KUALA LUMPUR,. Bursa Malaysia dibuka tinggi pagi ini selepas sentimen belian untuk ekuiti pasaran tempatan terus rancak, dipacu oleh kenaikan ketara dagangan Wall Street pada Jumaat lalu.

Pada 9.05 pagi, indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) mengukuh 2.88 mata kepada 1,534.10 berbanding 1,531.22 pada penutupan urus niaga Jumaat.

Indeks utama dibuka 0.16 mata lebih tinggi pada 1,531.38.

Pergerakan harga di pasaran secara menyeluruh positif, menyaksikan kaunter untung mengatasi kaunter rugi dengan 189 berbalas 164 manakala 249 kaunter tidak berubah, 1,712 tidak diniagakan dan 21 yang lain digantung.

Jumlah dagangan adalah 209.22 juta unit bernilai RM103.06 juta.

Menurut Malacca Securities Sdn Bhd, ia menjangkakan sentimen pasaran keseluruhannya akan kekal positif dan FBM KLCI mungkin terus pulih dengan pembelian berterusan daripada dana asing.

“Sementara itu, prestasi positif di Wall Street Jumaat lalu terutama di Nasdaq boleh turut melimpah ke saham teknologi pasaran tempatan kita.

“Selain itu, pelabur mungkin memberi tumpuan kepada sektor-sektor seperti perbankan, hartanah dan yang berkaitan pengguna di tengah-tengah musim pengumuman keputusan kewangan,” katanya dalam satu catatan penyelidikan.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank menokok lapan sen kepada RM8.19, Public Bank tidak berubah pada RM4.02 dan Petronas Chemicals meningkat tiga sen kepada RM8.34.

Bagi saham aktif, NWP dan Dagang Nexchange menambah setengah sen setiap satu masing-masing kepada 36 sen dan 84.5 sen, manakala Kanger kekal pada 3.5 sen.

Saham paling untung ialah Nestle yang meningkat RM1 kepada RM135, Genetec melonjak 80 sen kepada RM44.30 dan Batu Kawan lebih tinggi 36 sen kepada RM22.18.

Sementara itu, saham dan waran berstruktur Yinson Holdings Bhd dihentikan, berkuat kuasa mulai 9 pagi hari ini dan akan disambung semula pada 10 pagi.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas meningkat 21.90 mata kepada 11,350.75, Indeks FBMT 100 mengembang 20.53 mata kepada 10,987.84, Indeks FBM Emas Syariah lebih tinggi sebanyak 27.46 mata kepada 12,367.48, FBM ACE susut 4.75 mata kepada 6,973.24 dan FBM 70 naik 27.63 mata kepada 15,030.17.

Mengikut sektor, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian turun 0.16 mata kepada 201.51, Indeks Perladangan meraih 19.74 mata menjadi 6,692.68, dan Indeks Perkhidmatan Kewangan lebih tinggi 48.22 mata pada 15,253.93.

-BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This