
Bursa Malaysia dibuka tinggi
KUALA LUMPUR,. Bursa Malaysia dibuka tinggi pada Jumaat, mengambil petunjuk daripada prestasi Wall Street dalam tempoh semalaman yang meningkat semula, didorong pembelian semasa harga rendah selepas mengalami penurunan ketara semalam, kata peniaga.
Pada 9.04 pagi, penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) naik 0.40 mata kepada 1,601.19 daripada 1,600.79 ketika ditutup pada Khamis.
Barometer itu dibuka 2.94 mata lebih tinggi kepada 1,603.73.
Di pasaran meluas, kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 173 berbanding 69, manakala 248 kaunter tidak berubah, 1,746 kaunter tidak diniagakan dan 16 yang lain digantung.
Jumlah dagangan sebanyak 162.24 juta bernilai RM50.33 juta.
Menurut Malacca Securities Sdn Bhd, FBM KLCI mencatatkan kenaikan seiring dengan bursa-bursa serantau pada Khamis, selepas minit mesyuarat Rizab Persekutuan AS membawa tumpuan pelabur kepada kemungkinan kenaikan kadar faedah AS yang lebih agresif.
“Namun, kami menjangkakan bursa tempatan mengalami situasi tidak banyak berubah memandangkan pelabur telah sedia mempertimbangkan pendirian AS yang cenderung kepada kadar faedah tinggi itu serta sekatan Russia.
“Bagaimanapun, kami yakin risiko penurunan mungkin diimbangi oleh pemulihan aktiviti perniagaan,” jelasnya dalam nota penyelidikan.
Firma pembrokeran itu menambah, dari segi komoditi, minyak mentah dan minyak sawit mentah (MSM) didagangkan lebih rendah, namun masing-masing bergerak melebihi paras US$100 setong dan pada RM5,800 satu tan.
“Memandangkan harga minyak mentah dan harga niaga hadapan MSM yang tinggi, kami menjangkakan pelabur menumpukan kaunter perladangan serta minyak dan gas terpilih dalam tempoh terdekat sehingga musim pelaporan pada Mei.
“Sementara itu, kami tetap optimis terhadap sektor bertemakan pemulihan, serta segmen pembinaan dan bahan binaan kerana peniaga mungkin sedia menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) walaupun garis masanya masih tidak jelas,” tambahnya.
Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Public Bank menambah satu sen kepada RM4.69, Petronas Chemicals turun lapan sen kepada RM10.10, CIMB Group kurang empat sen kepada RM5.31, manakala Maybank dan IHH Healthcare masing-masing tidak berubah pada RM8.83 dan RM6.41 .
Bagi saham aktif, Brahims susut lapan sen kepada 3.5 sen, TWL dan Yong Tai masing-masing naik setengah sen kepada 8.5 sen dan 13 sen, manakala waran China Ouhua dan TWL masing-masing tidak berubah pada 9.5 sen dan 4.5 sen.
Di papan indeks, Indeks FBMT 100 menambah 8.93 mata kepada 11,162.06; Indeks FBM Emas naik 10.72 mata pada 11,510.58 dan Indeks FBM Emas Shariah menokok 19.19 mata kepada 12,153.74.
FBM 70 meningkat 36.20 mata kepada 13,971.57 manakala FBM ACE susut 5.90 mata kepada 5,822.42.
Mengikut sektor, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian turun 0.19 mata kepada 211.37, Indeks Perkhidmatan Kewangan susut 15.56 mata kepada 16,753.88 manakala Indeks Perladangan meningkat 11.17 mata kepada 8,347.93.
– Bernama