Bursa Malaysia dibuka tinggi awal dagangan

Bursa Malaysia dibuka tinggi awal dagangan

KUALA LUMPUR,. Bursa Malaysia dibuka lebih tinggi pada Selasa ketika ketiadaan pemangkin baharu dan situasi dagangan yang lemah semasa musim perayaan Tahun Baharu Cina.

Pada 9.05 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) menokok 5.19 mata kepada 1,517.47 daripada 1,512.28 semasa ditutup Jumaat lalu.

Indeks barometer dibuka meningkat 0.35 mata kepada 1,512.63.

Di pasaran lebih meluas, kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 159 berbanding 93, manakala 220 kaunter tidak berubah, 1,815 tidak diniagakan dan 11 lain digantung dagangan.

Jumlah dagangan sebanyak 87.57 juta unit bernilai RM47.83 juta.

Menurut Hong Leong Investment Bank (HLIB), ia menjangkakan sentimen dagangan suram akan berterusan sehingga minggu pertama Tahun Baharu Cina, dengan FBM KLCI diunjurkan pada julat sokongan 1,500 hingga 1,510.

“Sentimen pelabur juga mungkin kekal berhati-hati berikutan kebimbangan yang berlarutan mengenai pendirian Rizab Persekutuan ke atas dasar monetarinya, ketidakpastian terhadap pengukuhan pemulihan pasaran saham China dan jangkaan keputusan korporat tempatan selepas Tahun Baharu Cina,” katanya menerusi nota.

Bagaimanapun, HLIB berharap FBM KLCI meraih semula ke paras 1512-1528 sekiranya kebimbangan itu reda, didorong oleh minat risiko yang meningkat daripada pihak asing terhadap Bursa Malaysia yang kurang dimiliki (dengan pegangan saham asing yang rendah sebanyak 19.5 peratus pada Disember 2023).

“Kami juga menyaksikan prospek pendapatan bagi komponen FBM KLCI dan naratif penurunan yang sederhana di Amerika Syarikat (AS) di tengah-tengah inflasi yang semakin perlahan,” katanya.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank menambah empat sen kepada RM9.30, Public Bank naik dua sen kepada RM4.37, CIMB meningkat tiga sen kepada RM6.22 manakala Tenaga Nasional susut dua sen kepada RM10.76.

Bagi saham aktif, KNM Group dan Reneuco masing-masing tidak berubah pada sembilan sen dan 5.5 sen, TWL dan Minetech menokok setengah sen kepada empat sen dan 15 sen, manakala YNH Property meraih 3.5 sen kepada 65 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas menokok 36.89 mata kepada 11,281.90, Indeks FBMT 100 naik 36.79 mata kepada 10,941.30, Indeks FBM 70 meningkat 48.78 mata kepada 15,259.11, Indeks FBM Emas Syariah menokok 26.01 mata kepada 11,312.19, tetapi Indeks FBM ACE berkurangan 8.73 mata kepada 4,813.48.

Mengikut sektor, Indeks Hartanah meningkat 3.84 mata kepada 916.19, Indeks Perladangan menokok 36.84 mata kepada 7,229.0 dan Indeks Tenaga menambah 2.33 mata kepada 890.29.

Indeks Perkhidmatan Kewangan melonjak 60.04 mata kepada 16,941.02 dan Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian meningkat 0.27 mata kepada 172.96.

–BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )