Bursa Malaysia dibuka tinggi, jejaki kenaikan kukuh semalaman Wall Street

Bursa Malaysia dibuka tinggi, jejaki kenaikan kukuh semalaman Wall Street

KUALA LUMPUR,. Bursa Malaysia dibuka tinggi bagi hari ketiga berturut-turut hari ini, menjejaki kenaikan kukuh dalam tempoh semalaman di Wall Street didorong beberapa data ekonomi yang positif.

Pada Selasa, Amerika Syarikat mengumumkan aktiviti pembuatannya meningkat hampir kepada paras tertinggi dalam tempih dua tahun pada Ogos, sekali gus mengukuhkan dolar sebanyak 0.16 peratus kepada 92.390.

Purata Perindustrian Dow Jones melonjak 455 mata untuk ditutup melebihi paras 29,000.

Pada pukul 9.13 pagi, penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) menokok 5.67 mata kepada 1,543.21 daripada 1,537.54 ketika ditutup pada Rabu.

Indeks barometer itu dibuka 3.1 mata lebih tinggi kepada 1,540.64.

Lingkungan pasaran adalah positif dengan kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 304 berbanding 264 manakala 347 kaunter tidak berubah, 1,111 kaunter tidak diniagakan dan 25 yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 818.36 juta saham bernilai RM515.97 juta.

Rakuten Trade berkata ia menjangkakan pasaran serantau akan menjejaki pasaran AS secara positif hari ini.

“Di peringkat domestik, kami yakin FBM KLCI berpotensi mencatatkan pergerakan meningkat lebih tinggi susulan pembelian memberangsangkan pada saat-saat akhir semalam.

“Oleh itu, kami menjangkakan indeks petunjuk pasaran itu meningkat lebih tinggi hari ini, menguji paras 1,550,” menurut nota penyelidikan syarikat pembrokeran itu.

FBM KLCI bergerak dalam lingkungan positif bagi keseluruhan sesi dagangan semalam, dengan mencatatkan hanya dua penurunan.

Saham berharga rendah juga meneruskan kenaikan masing-masing, manakala pasaran keseluruhan ditutup tinggi kebanyakannya, didahului oleh kenaikan kukuh sektor teknologi disokong oleh unjuran positif bagi sektor ini.

Sementara itu, Malacca Securities Sdn Bhd berkata FBM KLCI dilihat memperoleh semula asas pergerakan memandangkan indeks utama menunjukkan pemulihan kukuh yang dijangkakan setelah hampir berada dalam keadaan terlebih jual.

Ia juga menjangkakan peningkatan semula indeks itu berterusan, mengambil petunjuk daripada prestasi baik pasaran luar negara dengan pelabur memanfaatkan data ekonomi global yang positif.

Firma itu juga mengunjurkan segmen teknologi terus menerajui senarai pendahulu disokong oleh prospek cerah sektor berkenaan.

Sementara itu, sektor penjagaan kesihatan terutama saham berkaitan dengan farmaseutikal juga meningkat seiring dengan perkembangan positif potensi vaksin COVID-19.

Antara saham berwajaran tinggi, Maybank tidak berubah pada RM7.25, Tenaga turun 22 sen kepada RM11.02, Public Bank kurang 10 sen kepada RM16.04 sementara Top Glove naik 74 sen kepada RM9.43.

Kalangan saham aktif, MQ Technology naik satu sen kepada 22 sen, PA Resources juga menokok satu sen kepada 9.5 sen, Vizione menambah setengah sen kepada 51 sen sementara DGB Asia tidak berubah pada 4.5 sen.

Saham paling untung ialah Top Glove yang meningkat 74 sen kepada RM9.43, Malaysian Pacific Industries menambah 70 sen kepada RM19.20 dan Supermax menokok 58 sen kepada RM21.98.

Saham paling rugi, Dutch Lady turun 48 sen kepada RM39.02, Nestle kurang 40 sen kepada RM141 dan PPB menguncup 36 sen kepada RM18.62.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas meningkat 32.97 mata kepada 11,207.33, Indeks FBMT 100 menambah 35.35 mata pada 11,001.86 dan FBM 70 naik 27.98 mata kepada 14,851.44.

Indeks FBM Emas Syariah meningkat 67.39 mata kepada 13,364.70 sementara FBM ACE naik 36.93 mata kepada 11,301.99.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan turun 16.14 mata kepada 12,679.37, Indeks Barangan dan Perkhidmatan Perindustrian susut 0.22 mata kepada 138.92 manakala Indeks Perladangan menambah 3.63 mata kepada 7,170.41.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This