Bursa Malaysia dibuka tinggi pada awal kembali merosot
KUALA LUMPUR,. Indeks utama FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) dibuka tinggi sedikit hari ini sebelum bergerak rendah, mengetepikan prestasi semalaman Wall Street yang lebih kukuh, kata seorang peniaga.
Pada 9.10 pagi, FBM KLCI merosot 0.69 mata kepada 1,456.23 daripada penutupan semalam pada 1,456.92. Indeks utama dibuka 1.21 mata lebih tinggi untuk mencatatkan paras 1,458.13.
Pergerakan harga di pasaran positif, dengan kaunter untung mendahului kaunter rugi 206 berbalas 120, manakala 271 kaunter tidak berubah, 1,777 tidak diniagakan dan sembilan yang lain digantung.
Jumlah dagangan 207.85 juta unit bernilai RM79.09 juta.
Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade, Thong Pak Leng, berkata Wall Street ditutup tinggi selepas sentimen pelabur dirangsang oleh kelemahan data inflasi yang menyebabkan penurunan hasil bon.
Sementara itu di pasaran tempatan, beliau berkata pasaran akan memberi tumpuan kepada laporan pendapatan korporat terutamanya daripada sektor kewangan yang mungkin memberikan sokongan dalam tempoh terdekat.
“Kami yakin pendapatan terutamanya daripada bank yang dijangka kekal kukuh untuk tahun 2023 dan ini mungkin boleh menarik pembeli kembali ke pasaran,” katanya kepada Bernama sambil menambah indeks utama diunjur berlegar dalam julat 1,455 hingga 1,465 hari ini.
Dalam kalangan kaunter wajaran tinggi, Maybank dan Public Bank masing-masing kekal pada harga RM9.11 dan RM4.21, CIMB susut empat sen menjadi RM5.73 dan Tenaga Nasional turun dua sen kepada RM9.95, manakala Petronas Chemicals peroleh dua sen kepada RM7. 22.
Bagi saham aktif, Hong Seng naik setengah sen kepada 3.5 sen, Leform turun setengah sen menjadi 28.5 sen, Ageson tidak berubah pada 7.5 sen, Muhibbah menambah 7.5 sen kepada 77.5 sen, dan MYEG untung 1.5 sen kepada 82 sen.
Di papan indeks, Indeks FBM Emas meningkat 5.59 mata kepada 10,795.71, Indeks FBMT 100 menambah 4.42 mata untuk mencatatkan paras 10,453.72 dan Indeks FBM Emas Syariah peroleh 13.71 mata kepada 11,015.52.
Indeks FBM ACE untung 2.20 mata kepada 5,197.45 dan Indeks FBM 70 mengembang 47.0 mata kepada 14,390.43.
Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan susut 13.83 mata kepada 16,345.44, Indeks Tenaga turun 0.5 mata kepada 860.01, manakala Indeks Perladangan 8.99 mata lebih tinggi kepada 6,994.99 dan Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian meningkat 0.38 mata untuk mencatatkan paras 173.96.
–BERNAMA