Bursa Malaysia dibuka tinggi pada pagi
KUALA LUMPUR,. Bursa Malaysia dibuka tinggi hari ini berikutan minat belian baharu selepas mengalami tekanan jualan pada Isnin dalam persekitaran kebimbangan mengenai varian COVID-19 baharu, Omicron, kata seorang penganalisis.
Pada 9.05 pagi, petunjuk pasaran FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 2.56 mata kepada 1,513.13 daripada 1,510.57 pada Isnin.
Indeks petunjuk pasaran dibuka tinggi 2.01 mata kepada 1,512.58.
Dalam pasaran secara menyeluruh, kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 214 berbanding 155, manakala 254 kaunter tidak berubah, 1,682 tidak diniagakan dan 63 yang lain digantung.
Jumlah dagangan sebanyak 383.69 juta unit bernilai RM189.85 juta.
Malacca Securities Sdn Bhd berkata prestasi Wall Street semalaman yang positif mungkin telah memberikan sokongan kepada ekuiti tempatan.
“Kami berpendapat tekanan jualan berlebihan dalam masa terdekat, menyumbang kepada petunjuk lebihan jualan dan pembentukan ‘hammer candlestick’ dalam kebanyakan saham.
“Selain itu, sebahagian ahli ekonomi menjangka bahawa impak ekonomi daripada varian COVID-19, Omicron kurang teruk berbanding pada 2020,” katanya dalam nota Morning Pulse hari ini.
Mengenai pasaran komoditi, firma pembrokeran itu berkata peningkatan semula yang sederhana dilihat dalam harga minyak sawit mentah dan minyak mentah.
Ia menjangka kaunter teknologi akan terus berada dalam kedudukan yang baik untuk pelabur berdasarkan pendapatannya yang tinggi pada masa depan, selain dengan peningkatan semula semalaman di Wall Street.
“Selain itu, saham penjagaan kesihatan dijangka diniagakan secara aktif, bagaimanapun kenaikan harga mungkin dihadkan selepas peningkatan yang ketara,” katanya.
Daripada saham wajaran tinggi, Maybank dan CIMB, masing-masing merosot dua sen kepada RM8.03 dan RM5.09, Public Bank menambah satu sen kepada RM3.97 dan Tenaga meningkat lapan sen kepada RM9.34.
Petronas Chemicals dan IHH, masing-masing tidak berubah pada RM8.21 dan RM6.60.
Daripada saham aktif, ATA IMS merosot 9.5 sen kepada 42.5 sen, BCM Alliance susut satu sen kepada 5.5 sen dan Borneo Oil tidak berubah pada 2.5 sen.
Dalam kalangan kaunter untung utama, MPI meningkat 90 sen kepada RM49.76. Genetec naik 50 sen kepada RM38.20 dan KLK menambah 28 sen kepada RM20.42.
Di papan indeks, Indeks FBM Emas meningkat 26.78 mata kepada 11,081.65, Indeks FBMT 100 naik 26.26 mata kepada 10,766.50 dan Indeks FBM Emas Shariah menambah 35.81 mata kepada 12,096.73.
FBM 70 meningkat 67.09 mata kepada 14,449.41 manakala FBM ACE jatuh 1.47 mata kepada 6,514.44.
Mengikut sektor, Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan menambah 0.29 mata kepada 192.34 dan Indeks Perladangan naik 20.61 mata kepada 6,376.93, bagaimanapun Indeks Perkhidmatan Kewangan berkurangan 4.94 mata kepada 15,038.47.
-BERNAMA