Bursa Malaysia dibuka tinggi pada pagi

Bursa Malaysia dibuka tinggi pada pagi

KUALA LUMPUR,. Bursa Malaysia dibuka tinggi hari ini walaupun prestasi bercampur-campur Wall Street dalam tempoh semalaman menjelang data senarai gaji bukan ladang (NFP) Amerika Syarikat (AS) pada Ogos yang akan dikeluarkan lewat hari ini.

Pasaran tempatan ditutup semalam bersempena dengan cuti umum Hari Kebangsaan.

Pada 9.10 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) menokok 5.06 mata kepada 1,457.00 daripada 1,451.94 pada penutup Rabu.

Indeks utama dibuka mengukuh 9.97 mata kepada 1,461.91.

Suasana pasaran negatif dengan kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 213 berbanding 205, manakala 289 kaunter tidak berubah, 1,619 tidak diniagakan dan 33 lain digantung dagangannya.

Jumlah dagangan sebanyak 367.09 juta unit bernilai RM204.98 juta.

Malacca Securities Sdn Bhd berkata, sekiranya data NFP mencatatkan prestasi di bawah jangkaan, keadaan ini menjadi faktor kepada Rizab Persekutuan AS untuk menghentikan kenaikan kadar faedah selanjutnya.

“Di peringkat tempatan, kami meramalkan aktiviti dagangan yang lebih baik, disokong dengan berita-berita berkaitan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) (yang akan dilancarkan hari ini),” katanya.

Sementara itu, Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd, Thong Pak Leng memberitahu Bernama, Wall Street ditutup bercampur-campur berikutan kesemua tiga indeks utama ditutup pada paras terendahnya disebabkan peniaga memantau dengan teliti data pekerjaan Ogos yang akan dikeluarkan lewat hari ini.

“Menggambarkan sentimen berhati-hati, Purata Perindustrian Dow Jones dalam tempoh semalaman menyusut 0.48 peratus, manakala Komposit Nasdaq menambah 0.11 peratus apabila hasil 10 tahun AS menyusut kepada 4.106 peratus.

“Di Hong Kong, Indeks Hang Seng semalam merosot 100 mata lagi apabila pengeluaran dana asing berlanjutan,” katanya.

Di peringkat tempatan, beliau meramalkan beberapa belian akan berlaku walaupun dalam sentimen lengang, di tengah-tengah prestasi bercampur-campur di peringkat serantau, sekali gus mengunjurkan FBM KLCI dalam jajaran 1,450 hingga 1,460 hari ini.

Katanya, tumpuan mungkin terarah kepada saham-saham perladangan susulan satu lagi trend memberangsangkan apabila harga minyak sawit mentah yang kini didagangkan pada paras RM4,000 satu tan.

Bagi saham wajaran tinggi, Maybank menambah enam sen kepada RM9.17, Public Bank naik tiga sen kepada RM4.26, CIMB dan Tenaga Nasional meraih tujuh sen masing-masing kepada RM5.70 dan RM9.91, manakala Petronas Chemicals susut 16 sen kepada RM6.96.

Bagi saham aktif, Sapura Energy naik setengah sen kepada 5.5 sen, Alam Maritim meningkat satu sen kepada 3.5 sen, Ekovest menyusut setengah sen kepada 53.5 sen, Top Glove turun 2.5 sen kepada 74 sen, manakala Tanco tidak berubah pada 57 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas naik 26.25 mata kepada 10,766.95, Indeks FBMT 100 menokok 26.80 mata kepada 10,438.83, Indeks FBM Emas Syariah naik 0.42 mata kepada 10,921.06, Indeks FBM 70 turun 3.08 mata kepada 14,279.99, manakala Indeks FBM ACE turun 16.61 mata kepada 5,201.36.

Mengikut sektor, Indeks Tenaga meningkat 6.48 mata kepada 842.07, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian menguncup 1.48 mata kepada 170.27, Indeks Perladangan menokok 53.88 mata kepada 6,983.51 dan Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian naik 91.85 mata kepada 16,477.45.

–BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This