Bursa Malaysia dibuka tinggi pada pagi

Bursa Malaysia dibuka tinggi pada pagi

KUALA LUMPUR,. Dagangan di Bursa Malaysia dibuka tinggi hari ini, mengambil petunjuk daripada prestasi semalaman Nasdaq dengan pelabur masih lagi mencerna keputusan Rizab Persekutuan (Fed) AS untuk mengurangkan pembelian aset bermula lewat bulan ini, kata peniaga.

Pada 9.05 pagi, indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 6.65 mata kepada 1,537.98 berbanding 1,531.33 semasa penutupan urus niaga petang Rabu. Indeks utama dibuka 4.44 mata lebih tinggi pada 1,543.15.

Pasaran ditutup pada Khamis sempena cuti umum sambutan perayaan Deepavali.

Pergerakan harga di pasaran secara menyeluruh menyaksikan kaunter untung mengatasi rugi dengan 207 berbalas 154 sementara 293 kaunter tidak berubah, 1,637 tidak diniagakan dan 31 yang lain digantung.

Jumlah dagangan 187.68 juta unit bernilai RM91.88 juta.

Menurut Malacca Securities Sdn Bhd dalam nota penyelidikan, langkah Persekutuan AS untuk memulakan pengurangan bulan ini adalah dalam jangkaan dan keadaan pasaran di AS secara keseluruhan masih positif, terutama di Nasdaq.

“Oleh itu, kami menjangkakan sentimen positif akan merebak ke saham teknologi di pasaran tempatan. Bagaimanapun, sentimen pasaran yang lebih luas mungkin mempunyai potensi peningkatan terhad kerana pelabur masih mencerna impak daripada perubahan Cukai Makmur dan duti setem dalam menuju ke tahun 2022,” katanya.

Di pasaran komoditi, minyak sawit mentah (MSM) berjaya melepasi paras RM5,000 satu tan, manakala minyak Brent pula didagangkan secara tidak menentu, mencecah paras tertinggi harian pada AS$84.48 dan merosot menghampiri paras AS$81 setong ketika ini dengan pengeluaran minyak Arab Saudi dilaporkan melebihi 10 juta tong sehari berikutan penurunan kes pandemik COVID-19.

Untuk fokus sektor pula, firma pembrokeran itu berkata pelabur mungkin masih mempertimbangkan sektor bertemakan pemulihan seperti pelancongan dan penerbangan manakala tema jangka pendek mungkin menumpukan pada musim laporan November yang akan datang.

“Selain itu, saham teknologi pula berpotensi untuk dagangan dalam jangka pendek hingga pertengahan berikutan sentimen positif daripada Nasdaq,” tambahnya.

Dalam kalangan saham berwajaran tinggi, Maybank menambah tiga sen kepada RM8.03, Public Bank naik satu sen kepada RM4.05, Petronas Chemicals menokok dua sen kepada RM8.33, Tenaga naik empat sen kepada RM9.62 manakala IHH Healthcare kekal pada RM6.52 .

Bagi saham aktif, NWP Holdings meningkat 2.5 sen kepada 32.5 sen, Scope Industries dan Dagang Nexchange menokok satu sen setiap satu kepada 39.5 sen dan 79.5 sen manakala Sapura Energy dan Tanco tidak berubah, masing-masing pada 10 sen dan 27 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas meningkat 52.12 mata kepada 11,410.63, Indeks FBMT 100 mengembang 41.45 mata kepada 11,026.18, Indeks FBM Emas Syariah lebih tinggi 66.99 mata kepada 12,466.64, FBM ACE naik 21.61 mata kepada 7,095.57 sementara FBM 70 mengukuh 32.51 mata kepada 15,123.72.

Mengikut sektor, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian meningkat 0.48 mata kepada 203.53, Indeks Perladangan mengembang 32.82 mata kepada 6,821.32 dan Indeks Perkhidmatan Kewangan 48.21 mata lebih tinggi pada 15,235.30.

-BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This