Bursa Malaysia dibuka tinggi pagi ini

Bursa Malaysia dibuka tinggi pagi ini

KUALA LUMPUR,. Bursa Malaysia dibuka tinggi pagi ini dengan ketidakpastian mengenai senario politik kembali reda selepas Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu diadakan semalam.

Pada pukul 9.05 pagi, indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 1.62 mata kepada 1,496.26 daripada 1,494.64 ketika ditutup pada Jumaat petang.

Indeks utama pula dibuka 0.92 mata lebih tinggi pada 1,495.56.

Di papan skor, kaunter untung mengatasi rugi dengan 310 berbalas 137 sementara 299 kaunter tidak berubah, 1,424 tidak diniagakan dan 43 lain digantung.

Jumlah dagangan ialah 456.36 juta unit bernilai RM274.94 juta.

Malacca Securities dalam nota penyelidikannya berkata lantunan semula itu akan dapat dilihat dalam kalangan saham bermodal kecil dan sederhana selepas senario politik tempatan yang tidak menentu kembali reda berikutan titah Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah semalam.

Yang di-Pertuan Agong di dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh Istana Negara tengah hari semalam menyatakan tiada keperluan buat masa ini untuk mengisytiharkan darurat di negara ini atau mana-mana bahagian negara Malaysia.

Al-Sultan Abdullah bertitah keputusan berkenaan dibuat selepas memperhalusi permohonan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan berbincang dengan Raja-Raja Melayu serta melihat kepada situasi yang sedang dihadapi oleh negara.

Malacca Securities bagaimanapun berkata peningkatan jumlah kes COVID-19 di dalam negara serta kemungkinan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) akan dilanjutkan di Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya serta Sabah dijangka membataskan perolehan di bursa tempatan pada masa ini.

Sementara itu, seorang penganalisis berkata keadaan FBM KLCI mungkin lengang kerana para pelabur masih lagi menantikan tiga agenda penting yang bakal berlaku pada minggu mendatang.

“Di pasaran tempatan, Belanjawan 2021 sudah pastinya menjadi penggerak utama pasaran, diikuti keputusan kadar dasar semalaman oleh Bank Negara.

“Faktor luaran pula, Pilihan Raya Presiden AS yang akan diadakan pada 3 Nov ini akan menjadi panduan kepada pelabur asing untuk mendapatkan hala tuju pasaran seterusnya,” kata beliau.

Dari sudut teknikal, FBM KLCI akan diniagakan pada paras sokongan 1,485 dan paras halangan 1,510.

Dalam kalangan saham berwajaran tinggi, Maybank naik dua sen kepada RM7.10, Top Glove meningkat satu sen kepada RM8.71, Hartalega menambah 28 sen kepada RM17.60 dan Tenaga Nasional mengukuh tiga sen kepada RM10.02

MR.D.I.Y yang baharu disenaraikan, meningkat satu sen kepada RM1.61 setelah lima minit diniagakan dan merupakan saham paling aktif ketika dibuka, diikuti dengan Advanced Synegy yang menambah 2.5 sen kepada 19 sen.

Saham paling untung, kaunter teknologi dan penjagaan kesihatan mencatatkan prestasi terbaik dengan menguasai kaunter teratas.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas naik 23.13 mata kepada 10,850.36, Indeks FBMT 100 meningkat 16.76 mata kepada 10,648.39 dan Indeks FBM Emas Shariah menambah 34.38 mata kepada 12,988.49.

FBM 70 mengukuh 42.72 mata kepada 14,301.06 dan FBM ACE melonjak 60.37 mata kepada 10,667.14.

Indeks Perkhidmatan Kewangan meningkat 3.26 mata kepada 12,362.42, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian naik 0.04 mata kepada 144.40 dan Indeks Perladangan 4.49 mata lebih tinggi pada 6,859.49.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This