Bursa Malaysia dibuka tinggi sebelum susut

Bursa Malaysia dibuka tinggi sebelum susut

KUALA LUMPUR,. Bursa Malaysia dibuka tinggi pada Selasa namun mengalami penurunan kemudiannya susulan kebimbangan pasaran mengenai kes positif harian COVID-19 yang masih tinggi apabila mencecah lebih 2,000 kes bagi hari kelima berturut-turut.

Pada 9.05 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) turun 5.04 mata kepada 1,595.25 daripada 1,600.29 ketika ditutup pada Isnin.

Indeks barometer itu dibuka 0.14 mata lebih tinggi kepada 1,600.43.

Lingkungan pasaran keseluruhan kekal negatif dengan kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 247 berbanding 153, manakala 282 kaunter tidak berubah, 1,484 kaunter tidak diniagakan dan tujuh yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 299.94 juta saham bernilai RM140.69 juta.

Menurut Malacca Securities, sentimen pasaran masih kekal berhati-hati walaupun fasa kedua program vaksinasi COVID-19 telah mula dilaksanakan dalam keadaan peningkatan kes di negara ini.

Di luar negara, pasaran saham Amerika Syarikat (AS) susut daripada paras tinggi baharu apabila indeks Purata Perindustrian Dow Jones diseret turun oleh penjualan saham teknologi, yang mencatatkan penurunan terbesar dalam tempoh hampir empat minggu.

Dow Jones turun 0.36 peratus kepada 34,077.63, Nasdaq kurang 0.98 peratus untuk ditutup pada 13,914.77 dan S&P 500 merosot 0.53 peratus kepada 4,163.26.

“Walaupun kami berhati-hati dengan penurunan Nasdaq dalam tempoh semalaman, kami turut menjangkakan sektor teknologi memanfaatkan pengumuman perkongsian Microsoft di bawah inisiatif Bersama Malaysia.

“Selain itu, sektor tenaga juga mungkin boleh menjadi tumpuan dalam keadaan harga minyak Brent lebih tinggi apabila kembali meningkat kepada paras melebihi AS$67 setong,” menurut firma pembrokeran itu dalam nota penyelidikan.

Saham berwajaran tinggi Petronas Chemicals turun 12 sen kepada RM7.78 dan Press Metal kurang lapan sen kepada RM5.30.

Top Glove kekal rendah apabila susut enam sen kepada RM5.40 dan IHH menguncup empat sen kepada RM5.33.

Sementara itu, Sime Darby Plantation dan Genting Malaysia masing-masing naik dua sen kepada RM4.52 dan RM2.86.

Antara kaunter aktif, Censof naik 13 sen kepada 51 sen, Advance Synergy menokok satu sen kepada 16.5 sen, Puc menambah setengah sen kepada 13 sen sementara Key Asic turun setengah sen kepada 17 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas susut 26.85 mata kepada 11,760.35; FBMT 100 turun 27.41 mata kepada 11,417.67 dan FBM 70 kurang 3.95 mata kepada 15,583.14.

FBM Emas Syariah merosot 37.45 mata kepada 13,173.48 dan FBM ACE susut 23.24 mata kepada 8,546.94.

Mengikut sektor, Indeks Perladangan naik 2.60 mata kepada 6,868.83, Indeks Perkhidmatan Kewangan menguncup 30.05 mata kepada 14,997.45 manakala Indeks Barangan dan Perkhidmatan Perindustrian turun 1.29 mata kepada 194.91.

-BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This