Bursa Malaysia dibuka tinggi

Bursa Malaysia dibuka tinggi

KUALA LUMPUR,. Bursa Malaysia meneruskan kenaikan minggu lalu untuk dibuka lebih tinggi sedikit hari ini, dirangsang sokongan belian berterusan di kaunter utama terpilih, walaupun terdapat isyarat bercampur-campur di bursa serantau selepas tarif Amerika Syarikat (AS)-China berkuat kuasa pada 1 September.

Pada 9.16 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI naik 0.12 mata kepada 1,612.26 selepas dibuka 0.64 mata lebih tinggi pada 1,612.78 berbanding 1,612.14 penutup Jumaat.

Dalam nota penyelidikan hari ini, Malacca Securities Sdn Bhd menjangka bursa tempatan mengalami aktiviti pengambilan untung yang pantas untuk memadamkan beberapa kenaikan Jumaat lalu di tengah-tengah pasaran yang lebih berhati-hati.

“Memulakan bulan itu, kami berpendapat sikap berhati-hati akan kekal selepas AS menunaikan janji untuk menaikkan tarif ke atas barang buatan China dan ini mungkin akan melemahkan lagi sentimen di Bursa Malaysia.

“Buat masa ini, kami menjangkakan sokongan 1,600 mata untuk kekal kerana penurunan dijangka kecil. Terdapat sokongan sementara dilihat pada 1,610 yang kami fikir tidak dapat dipertahankan, sementara rintangan berada di tahap 1,620 dan 1,626,” katanya.

Dalam kalangan saham berwajaran tinggi, Maybank menokok 3.0 sen kepada RM8.72, Public Bank menambah 6.0 sen kepada RM20.38, Petronas Chemicals naik 1.0 sen kepada RM6.94, IHH menambah 4.0 sen kepada RM5.83 manakala TNB naik 2.0 sen lebih tinggi pada RM13.98.

Di pasaran yang lebih luas, kaunter naik mengatasi kaunter turun sebanyak 170 berbanding 167 dengan 201 kaunter tidak berubah, manakala 1,407 tidak diniagakan dan 21 yang lain digantung.

Sejumlah 236.07 juta saham bertukar tangan bernilai RM108.45 juta. – BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This