Bursa Malaysia didagangkan secara tidak menentu

Bursa Malaysia didagangkan secara tidak menentu

KUALA LUMPUR,. Bursa Malaysia dibuka tinggi pada Selasa namun mengalami penurunan selepas itu berikutan kekurangan belian memandangkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 yang mungkin dilaksanakan telah menjejaskan sentimen pasaran.

Pada 9.05 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) turun 0.27 mata kepada 1,590.46 daripada 1,590.73 ketika penutupan dagangan pada Isnin.

Indeks utama itu dibuka 0.94 mata lebih baik kepada 1,591.67.

Lingkungan pasaran bagaimanapun positif dengan kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 239 berbanding 164, manakala 293 kaunter tidak berubah, 1,456 kaunter tidak diniagakan dan enam yang lain digantung.

Jumlah dagangan 253.41 juta saham bernilai RM122.02 juta.

Malacca Securities Sdn Bhd berpandangan indeks utama dijangka mencatatkan prestasi tidak banyak berubah dalam jangka terdekat kerana pelabur masih berhati-hati, beralih antara saham bertemakan pemulihan dan berkaitan penjagaan kesihatan.

Kaunter perladangan dan logam mungkin menyaksikan minat dagangan yang memberangsangkan, menurutnya.

“Dari segi komoditi, harga minyak sawit mentah (MSM) melonjak sekitar 5.0 peratus untuk ditutup di atas paras RM4,000 satu tan pada Isnin, sementara niaga hadapan timah merekodkan satu lagi harga tertinggi,” jelasnya dalam nota penyelidikan pada Selasa.

Ia menekankan pelabur juga mungkin memberi tumpuan kepada sektor semikonduktor, berikutan permintaan kukuh terhadap cip dalam keadaan pandemik.

Dalam kalangan saham berwajaran tinggi, Maybank turun dua sen kepada RM8.25, Top Glove susut tujuh sen kepada RM5.41, Public Bank naik satu sen kepada RM4.14 dan TNB menambah tiga sen kepada RM9.96.

Bagi saham aktif, TDM meningkat satu sen kepada 31.5 sen, sementara Tanco Holdings dan Velesto Energy masing-masing menambah setengah sen kepada sembilan sen dan 16.5 sen.

Saham paling untung termasuk MTouche yang menokok 15 sen kepada 26.5 sen, sementara Gopeng naik 13.5 sen kepada 97 sen dan Sarawak Oil Palm menambah lapan sen kepada RM3.91.

Antara saham rugi pula, Careplus dan Supermax masing-masing susut lapan sen kepada RM2.82 dan RM5.90, dan Adventa turun tujuh sen kepada RM2.20.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas meningkat 4.00 mata kepada 11,711.48, Indeks FBM Emas Syariah kurang 1.90 mata kepada 13,146.08 manakala Indeks FBMT 100 naik 2.04 mata kepada 11,362.88.

Sementara itu, FBM 70 meningkat 18.15 mata kepada 15,429.39 dan FBM ACE naik 40.03 mata kepada 8,750.64.

Mengikut sektor, Indeks Barangan dan Perkhidmatan Perindustrian menokok 0.35 mata kepada 198.29, Indeks Perladangan naik 25.29 mata kepada 6,942.54 dan Indeks Perkhidmatan Kewangan menambah 13.61 mata kepada 14,860.77. – Bernama

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )