Bursa Malaysia diniagakan bercampur – campur

Bursa Malaysia diniagakan bercampur – campur

KUALA LUMPUR,. Bursa Malaysia memulakan minggu sesi urus niaga pagi Isnin bercampur-campur, didorong oleh kegiatan memburu saham berharga murah kaunter wajaran tinggi terpilih, didahului oleh Petronas Chemicals dan Press Metal.

Ini meskipun terdapatnya kebimbangan yang kian memuncak mengenai ketegangan geopolitik dan sentimen lemah yang dialami kebanyakan bursa serantau lain, kata seorang peniaga.

Pada jam 9.04 pagi, indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat sedikit sebanyak 0.11 mata kepada 1,604.05 daripada 1,603.94 pada penutup Jumaat.

Indeks utama itu dibuka 2.33 mata lebih kukuh pada 1,606.27.

Bagaimanapun, pasaran meluas menyaksikan kaunter rugi mengatasi untung dengan 220 berbalas 167 manakala 200 kaunter tidak berubah, 1,676 tidak diniagakan dan 10 yang lain digantung.

Jumlah dagangan 152.02 juta unit bernilai RM82.02 juta.

Selain itu, Public Investment Bank Bhd berkata, indeks saham S&P 500 susut 0.8 peratus manakala komposit Nasdaq yang memberi fokus pada teknologi jatuh 1.7 peratus di Wall Street dalam dagangan tidak menentu.

“Sebaliknya, pelabur beralih kepada bon kerajaan AS, emas dan dolar.

Hasil bagi nota Perbendaharaan AS 10 tahun, yang menyokong kos pinjaman di seluruh dunia, turun 0.1 mata peratusan kepada 1.74 peratus,” katanya dalam nota hari ini.

Seiring dengan sentimen global yang negatif, firma pembrokeran itu berpendapat FBM KLCI akan bergerak mendatar antara paras 1,622 dan 1,600 dengan tahap sokongan untuk indeks pada 1,551-1,600, manakala tahap rintangan pada 1,620-1,652.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Petronas Chemicals menokok 20 sen kepada RM10.24, Press Metal menambah tiga sen kepada RM7.25, dan Maybank, Public Bank dan IHH Healthcare tidak berubah, masing-masing pada RM9.00, RM4.42, RM6.60.

Bagi saham aktif, Hibiscus Petroleum naik enam sen kepada RM1.30, Euro Holdings menambah 3.5 sen kepada 38.5 sen dan Velesto Energy meningkat setengah sen kepada 13.0 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas lemah 8.00 mata menjadi 11,333.51, FBM 70 susut 51.34 mata kepada 13,135.85, Indeks FBMT 100 menguncup 8.54 mata kepada 11,022.59, dan FBM ACE merosot 32.79 mata kepada 5,475.27.

Sebaliknya, Indeks Syariah Emas FBM mengukuh 0.32 mata kepada 12,079.69.

Mengikut sektor, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian memperoleh 1.19 mata kepada 214.41, manakala Indeks Perkhidmatan Kewangan menyusut 36.84 mata kepada 16,356.39 dan Indeks Perladangan menyusut 33.71 mata kepada 8,513.80.

–BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This