Bursa Malaysia Melonjak Naik pagi ini

Bursa Malaysia Melonjak Naik pagi ini

KUALA LUMPUR,. Dagangan di Bursa Malaysia kembali pulih pagi ini untuk dibuka lebih tinggi pada sesi awal urus niaga, didorong oleh sentimen pasaran yang bertambah baik selain mengambil petunjuk daripada prestasi semalaman Wall Street yang dipacu oleh pendapatan korporat yang kukuh, kata peniaga.

Pada 9.20 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 8.58 mata kepada 1,437.34 daripada penutupan Selasa pada 1,428.76.

Indeks penanda aras dibuka 1.26 mata lebih tinggi pada 1,430.02.

Di pasaran yang lebih luas, kaunter untung mengatasi kaunter rugi 324 berbanding 94, manakala 190 kaunter tidak berubah, 1,680 tidak diniagakan dan tujuh yang lain digantung.

Jumlah dagangan adalah sebanyak 386.10 juta unit bernilai RM141.24 juta.

Menurut Malacca Securities Sdn Bhd menerusi nota penyelidikannya, susulan peningkatan kukuh di Wall Street, ia menjangkakan sektor teknologi akan terus pulih di tengah-tengah limpahan minat belian dalam saham teknologi tempatan.

“Sementara itu, kami percaya minat dagangan mungkin muncul dalam sektor tenaga selepas harga minyak mentah kembali pulih.

“Selain itu, sektor pengguna, pengangkutan dan logistik dijangka mendapat manfaat daripada pemulihan yang berlaku,” katanya.

Bagi komoditi, Malacca Securities berkata harga minyak mentah Brent bertambah baik, diniagakan melebihi paras AS$107 setong walaupun terdapat kebimbangan baharu terhadap bekalan yang terhad.

Sementara itu, harga minyak sawit mentah melantun semula untuk diniagakan melepasi paras RM3,900 satu tan.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank naik tiga sen kepada RM8.59, Public Bank menokok dua sen kepada RM4.42, Petronas Chemicals mengukuh 13 sen kepada RM8.43, IHH Healthcare peroleh satu sen menjadi RM6.43, manakala CIMB Group susut satu sen kepada RM5.09.

Bagi saham aktif, Metronic Global dan AHB Holdings naik setengah sen, masing-masing meraih sembilan sen dan 14.5 sen, Dagang NeXchange meningkat dua sen kepada 75 sen, Sapura Energy susut setengah sen menjadi empat sen, manakala MMAG Holdings tidak berubah pada lima sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas meraih 58.68 mata kepada 10,190.71, Indeks FBM Emas Syariah meningkat 74.55 mata menjadi 10,290.99, FBM 70 pula 125.39 mata lebih tinggi pada 12,253.82, Indeks FBMT 100 mengukuh 55.57 mata kepada 9,951.48 dan Indeks FBM ACE menokok 79.72 mata kepada 4,672.44.

Mengikut sektor, Indeks Perladangan menokok 51.46 mata kepada 6,812.59, Indeks Perkhidmatan Kewangan menambah 43.11 mata kepada 16,048.52, Indeks Tenaga 11.30 mata lebih tinggi untuk merekodkan 636.81, dan Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian naik 1.44 mata kepada 172.36.

–BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This