Bursa Malaysia rendah pada awal dagangan

KUALA LUMPUR,. Bursa Malaysia dibuka rendah hari ini berikutan kelemahan sentimen pasaran susulan kebimbangan pelabur terhadap impak ekonomi daripada penularan novel koronavirus.

Pada 9.15 pagi, indeks petunjuk utama FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 9.17 mata kepada 1,541.30 berbanding 1,550.47 sewaktu ditutup semalam.

Indeks penanda aras itu menokok 0.78 mata kepada 1,551.25 sewaktu dagangan dibuka, hari ini.

Sentimen pasaran di Bursa Malaysia adalah negatif dengan kaunter rugi mengatasi untung iaitu 200 berbanding 153 manakala 199 kaunter tidak berubah, 1,439 tidak diniagakan dan dagangan 76 yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 287.48 juta saham bernilai RM132.90 juta.

Sementara itu, Malacca Securities Sdn Bhd menerusi nota penyelidikannya berkata pelabur kekal berhati-hati terhadap impak ekonomi susulan penularan koronavirus itu.

“Berikutan kekurangan petunjuk baru, kami berpendapat indeks utama itu akan menyaksikan dagangan yang cenderung ke arah penurunan dengan indeks utama telah menguji paras sokongan pada 1,550.

“Sebarang penurunan di bawah paras tersebut akan menyaksikan indeks penanda aras itu mencecah paras terendah dalam tempoh empat tahun ke arah 1,535 dan paras psikologi 1,500. Peningkatan indeks itu dilihat sukar dengan pergerakan terhad ke arah 1,575 pada masa ini,” katanya.

Dalam pada itu, bagi saham-saham wajaran tinggi, Maybank tidak berubah pada RM8.45, Public Bank susut 18 sen kepada RM18.82, Tenaga rugi empat sen kepada RM12.52 dan Petronas Chemicals turun lapan sen kepada RM6.50.

Bagi saham aktif, Avillion tidak berubah pada 16 sen manakala MCLean Technologies dan RGB International masing-masing naik 1.5 sen kepada 28.5 sen dan 19 sen.

Indeks FBM Emas susut 51.98 mata kepada 11,027.64, Indeks FBM Emas Shariah turun 72.23 mata kepada 11,712.05, Indeks FBMT 100 berkurangan 52.79 mata kepada 10,817.83, FBM 70 rendah 20.75 mata kepada 13,972.54 dan FBM Ace meningkat 21.13 mata kepada 5,656.92.

Mengikut sektor, Indeks Produk dan Perkhidmatan Industri susut 0.48 mata kepada 148.05, Indeks Perkhidmatan Kewangan turun 48.92 mata pada 14,865.23 dan Indeks Perladangan berkurangan 70.82 mata kepada 7,143.38.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )