Bursa Malaysia rendah pada pagi

Bursa Malaysia rendah pada pagi

KUALA LUMPUR,. Bursa Malaysia mengakhiri kenaikan semalam untuk dibuka lebih rendah hari ini berikutan aktiviti pengambilan untung, mengambil isyarat daripada dagangan yang tidak menentu di Wall Street.

Pada 9.10 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) merosot 12.47 mata kepada 1,557.63 daripada 1,570.10 sewaktu ditutup pada Selasa.

Indeks petunjuk pasaran itu dibuka rendah 6.70 mata kepada 1,563.40.

Di pasaran lebih meluas, kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 201 berbanding 171, manakala 238 kaunter tidak berubah, 1,633 tidak diniagakan dan 16 yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 250.57 juta unit bernilai RM162.12 juta.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd, Thong Pak Leng, berkata ekuiti AS merosot disebabkan kebimbangan terhadap inflasi dan pertumbuhan ekonomi yang lebih perlahan memandangkan dunia kini sedang berdepan krisis makanan.

Purata Indeks Dow Jones turun 223 mata, manakala Nasdaq susut hampir 50 mata.

Berikutan itu, hasil 10 tahun AS ditutup lebih tinggi kepada paras 2.85 peratus.

Bagi bursa tempatan, beliau berkata lonjakan mendadak dalam pembelian asing menyaksikan FBM KLCI ditutup lebih tinggi selepas merosot hampir sepanjang hari.

“Bagaimanapun, kami berpendapat beberapa aktiviti pengambilan untung mungkin berlaku dan berharap indeks itu berada pada julat 1,560-1,575 hari ini,” katanya kepada Bernama.

Sementara itu, Pak Leng berkata harga minyak sawit mentah menyusut kepada lingkungan RM6,600 satu tan seiring dengan harga minyak kacang soya yang lebih lemah.

Bagaimanapun, harga minyak mentah mengekalkan trend dengan minyak mentah Brent menghampiri paras AS$113 setong berikutan sekatan separa minyak Russia oleh Kesatuan Eropah.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank dan Petronas Chemicals masing-masing turun 10 sen kepada RM9.0 dan RM10.16, Public Bank merosot 8.0 sen kepada RM4.65, IHH Healthcare berkurangan 9.0 sen kepada RM6.61 dan CIMB susut 2.0 sen kepada 5.13.

Bagi saham aktif, Sapura Energy merosot 1.0 sen kepada 7.5 sen, Serba Dinamik menambah 2.0 sen kepada 12 sen, Genting meningkat 28 sen kepada RM5.03, WZ Satu naik 1.0 sen kepada 22 sen, manakala Focus Dynamics tidak berubah pada 3.0 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas susut 0.86 mata kepada 5,184.78, Indeks FBM Emas Syariah jatuh 60.80 mata kepada 11,448.83, Indeks FBM Emas turun 68.71 mata kepada 11,083.19, Indeks FBMT 100 berkurangan 71.59 mata kepada 10,786.92, manakala FBM 70 lemah 27.52 mata kepada 13,211.60.

Mengikut sektor, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian rendah 1.86 mata kepada 201.35, Indeks Perladangan menguncup 31.25 mata kepada 7,932.73 dan Indeks Perkhidmatan Kewangan turun 166.80 mata kepada 16,743.89.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This