Bursa Malaysia teruskan kenaikan semasa awal dagangan

KUALA LUMPUR,. Bursa Malaysia meneruskan kenaikan semalam untuk dibuka tinggi hari ini, disokong oleh pembelian di kaunter berkaitan indeks dalam keadaan sentimen pasaran yang positif.

Pada 9.07 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) yang menjadi petunjuk penanda aras pasaran naik 2.59 mata kepada 1,580.38 daripada 1,577.79 ketika ditutup pada Selasa.

Indeks utama itu dibuka 5.21 mata lebih tinggi kepada 1,583.

Sebanyak 132 kaunter untung dan 100 kaunter rugi, manakala 201 kaunter tidak berubah, 1,564 kaunter tidak diniagakan dan 50 yang lain digantung pada awal dagangan hari ini.

Jumlah dagangan sebanyak 100.98 juta saham bernilai RM59.93 juta.

Maybank IB Research berkata keadaan pasaran di Bursa meningkat semalam apabila rundingan perdagangan Amerika Syarikat-China yang mencatatkan perkembangan positif telah memberi kelegaan kepada pasaran ekuiti sementara tumpuan pula beralih kepada mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Rizab Persekutuan AS.

“Secara teknikal, kami menjangkakan FBM KLCI berada dalam julat di antara 1,560 dan 1,590 hari ini manakala sokongan menurun pula pada 1,550 dan 1,539,” kata firma penyelidikan itu dalam nota hari ini.

Rizab Persekutuan AS dijangka mengurangkan sasaran kadar faedah utama sebanyak 25 mata asas dan keputusan itu akan diumumkan hari ini.

Dalam kalangan saham berwajaran tinggi, Maybank naik dua sen kepada RM8.49, Petronas Chemicals meningkat lima sen kepada RM7.47, IHH menokok satu sen kepada RM5.74, dan CIMB menambah empat sen kepada RM5.07.

Tenaga turun dua sen kepada RM13.74 dan Public Bank kurang lapan sen kepada RM19.26.

Bagi saham aktif, IFCA naik dua sen kepada 51.5 sen, Velesto menokok setengah sen kepada 37.5 sen, Mudajaya menambah 1.5 sen kepada 22.5 sen manakala Netx tidak berubah pada dua sen.

Indeks FBM Emas meningkat 15.22 mata kepada 11,214.84, Indeks FBMT 100 naik 16.14 mata kepada 11,026.48, FBM Ace menambah 23.43 mata kepada 4,951.55, Indeks FBM Emas Syariah menokok 16.79 mata kepada 11,832.81, dan FBM 70 meningkat 12.67 mata kepada 13,973.47.

Mengikur sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan menambah 19.16 mata kepada 15,289.33, Indeks Perladangan menokok 2.44 mata kepada 6,695.74 manakala Indeks Barangan dan Perkhidmatan Perindustrian naik 0.45 mata kepada 153.6.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )