Bursa Malaysia teruskan momentum menaik

KUALA LUMPUR,. Bursa Malaysia meneruskan momentum menaik untuk dibuka tinggi hari ini, disokong oleh ketegangan di Timur Tengah yang sedikit reda selain keyakinan kukuh terhadap perdagangan global.

Pada 9.05 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) naik 1.43 mata kepada 1,597.08 berbanding 1,595.65 ketika ditutup semalam.

Di papan skor, kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 185 berbanding 66, manakala 182 kaunter kekal tidak berubah, 1,512 kaunter tidak diniagakan dan 16 yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 161.81 juta saham bernilai RM61.12 juta.

Menurut Malacca Securities, pelabur mengalihkan tumpuan mereka kepada penandatanganan perjanjian perdagangan fasa satu di antara Amerika Syarikat dengan China yang dijangkakan pada 15 Jan ini.

“Suasana pasaran ekuiti global yang kukuh, susulan kenaikan yang dicatatkan banyak pasaran luar negara, akan terus memacu pasaran tempatan di samping indeks utama diunjurkan mengakhiri minggu ini pada kedudukan positif,” menurutnya dalam nota penyelidikan hari ini.

Ia berkata susulan peningkatan semula baru-baru ini, ditambah pula dengan aktiviti belian yang diperbaharui daripada peserta asing, FBM KLCI boleh terus menyaksikan aktiviti pembelian semasa harga rendah.

Firma penyelidikan itu berkata dari sudut peningkatan teknikal, indeks utama mungkin terus menguji semula paras psikologi 1,600 dan seterusnya bergerak ke paras 1,615.

Bagi kaunter saham berwajaran tinggi, Top Glove naik dua sen kepada RM4.60, Sime Darby menambah dua sen kepada RM2.27, RHB Bank dan Petronas Chemicals masing-masing meningkat lima sen kepada RM5.84 dan RM7.36, manakala Public Bank menokok 10 sen kepada RM19.66.

Antara saham aktif, Solarvest dan Kronologi Asia masing-masing naik dua sen kepada 78 sen dan 94.5 sen manakala Vortex dan Sersol masing-masing menambah satu sen kepada 11.5 sen.

Saham paling untung, Malaysian Pacific melonjak 22 sen kepada RM12, KESM naik 19 sen RM9.55, Hong Leong Financial menambah 18 sen kepada RM17.62 manakala Genetec menokok sembilan sen kepada RM1.20.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas naik 16.10 mata kepada 11,378.02 dan Indeks FBM Emas Syariah menokok 10.02 mata kepada 11,999.66.

Indeks FBMT 100 meningkat 12.45 mata kepada 11,170.15, FBM 70 menambah 25.79 mata kepada 14,267.16 manakala FBM Ace naik 36.31 mata kepada 5,536.95.

Mengikut sektor, Indeks Barangan dan Perkhidmatan Perindustrian meningkat 0.45 mata kepada 154.31, manakala Indeks Perkhidmatan Kewangan naik 45.58 mata kepada 15,605.42 dan Indeks Perladangan menambah 5.27 mata kepada 7,691.56.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )