Cadangan penyahwartaan Hutan Simpan Kuala Langat Utara masih dalam perbincangan – Exco

Cadangan penyahwartaan Hutan Simpan Kuala Langat Utara masih dalam perbincangan – Exco

BESTARI JAYA,. Cadangan penyahwartaan Hutan Simpan Kuala Langat Utara masih dalam peringkat perbincangan dan Kerajaan Negeri Selangor sedang meneliti pandangan pakar berkaitan, kata Exco Pelancongan dan Alam Sekitar Hee Loy Sian.

Beliau berkata banyak aspek yang perlu diambil kira sebelum keputusan berhubung status penyahwartaan hutan itu dilakukan termasuk soal ekonomi, pembangunan dan kebajikan Orang Asli.

“Saya juga mengambil kira pandangan daripada pakar, profesor, Universiti Putra Malaysia, Universiti Kebangsaan Malaysia dan universiti lain tentang sama ada hutan itu patut dinyahwartakan atau tidak.

“Kita menghormati pandangan badan bukan kerajaan (NGO) serta Orang Asli dan sebagai kerajaan yang prihatin, kita akan melihat semua aspek bukan setakat hutan sahaja tetapi juga aspek ekonomi, Orang Asli dan pembangunan,” katanya kepada media selepas Majlis Penyerahan Warta Tanah Tokong di sini pada Ahad.
Hee berkata jika penyahwartaan Hutan Simpan Kuala Langat Utara dilaksanakan, kerajaan negeri memberi jaminan bahawa ia akan digantikan dengan hutan yang lebih baik.

“Kita tidak akan mengurangkan jumlah hutan simpan di negeri Selangor. Sebab itu kita kena fikir banyak aspek kerana kalau kita nak keluarkan, kena cari ganti yang lebih berkualiti daripada yang sedia ada, itu adalah polisi kita.

“Jadi untuk membuat pembangunan di negeri Selangor, kita akan pastikan jumlah keluasan hutan dikekalkan atau lebih daripada 32 peratus,” katanya.

Hutan Simpan Kuala Langat Utara yang diwartakan pada 13 Mei 1927 dan terletak di Mukim Tanjung 12, Daerah Kuala Langat, Selangor mula menjadi perhatian umum susulan notis penyiasatan awam di bawah Seksyen 11 Akta Perhutanan Negara Enakmen (Pemakaian) 1985 (Subkaedah 7(2)) oleh Jabatan Perhutanan Negeri Selangor pada awal tahun 2020.

Notis itu, yang bertujuan mendapatkan pandangan umum berikutan cadangan pemansuhan pewartaan hutan tersebut, mencetuskan polemik dalam kalangan masyarakat terutama komuniti Orang Asli yang bergantung hidup dengan sumber hutan sejak ratusan tahun lamanya.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This