Cadangan wujud akta lindungi warga emas bertepatan – Lee Lam Thye

Cadangan wujud akta lindungi warga emas bertepatan – Lee Lam Thye

KUALA LUMPUR,. Cadangan kerajaan untuk memperkenalkan akta khas bagi melindungi kebajikan dan hak warga emas adalah tepat pada masanya kerana jumlah golongan itu semakin bertambah setiap tahun, kata aktivis sosial Tan Sri Lee Lam Thye.

Beliau berkata terdapat cabaran dan masalah serius pada masa hadapan memandangkan Malaysia akan dianggap sebagai negara menua apabila tujuh peratus daripada penduduknya berusia 65 tahun ke atas menjelang 2030.

Beliau berkata akta baharu itu akan melindungi warga emas dan ini selaras dengan usaha melindungi hak warga emas, terutamanya dalam isu pengabaian dan penderaan.

“Kita sering mendengar kisah warga tua yang tidak dijaga dengan baik malah dibiarkan hidup dalam keadaan menyedihkan. Saya sedih setiap kali membaca cerita mengenai ibu bapa ditinggalkan di hospital, rumah kebajikan atau perhentian bas oleh anak mereka atau saudara sendiri,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Pada 23 Sept lepas, Bernama melaporkan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata kerajaan bersetuju bahawa ada keperluan dari segi perundangan bagi melindungi hak warga emas kerana terdapat peningkatan dalam kes pengabaian dan penderaan terhadap golongan itu.

Dr Wan Azizah yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berkata rang undang-undang untuk warga emas itu dijangka dibentangkan di Parlimen pada awal 2021.

Lee berkata memandangkan kos sara hidup dijangka meningkat pada tahun-tahun akan datang, penting untuk (kerajaan) menyediakan jaringan keselamatan sosial termasuk membenarkan warga emas yang masih sihat dan berpengalaman bekerja.

“Kita boleh mencontohi pendekatan diambil negara lain yang memperkenalkan pelbagai insentif kewangan untuk majikan mengupah atau mengekalkan pekerja yang lebih tua dan memberi latihan pekerjaan kepada mereka.

“Malaysia juga perlu mempunyai program keselamatan sosial yang lebih komprehensif kerana kajian menunjukkan pendapatan persaraan bagi kebanyakan warga emas tidak mencukupi,” katanya.

Sementara itu, Lee mencadangkan lebih banyak pertubuhan bukan kerajaan (NGO) ditubuhkan untuk menjaga warga emas yang diabaikan oleh ahli keluarga, khususnya mereka yang menghidap penyakit.

“Kita perlu membantu warga emas untuk kekal berada dalam masyarakat dengan menyediakan pusat jagaan harian dan hospital harian, kelab sosial, pusat pemulihan, kaunseling dan konsultasi, skim sukarelawan dan rumah penjagaan dan rawatan,” katanya.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This