Calon Kunak bimbang Kluster Laut tetapi akur dengan SOP
KUNAK – Calon Parti Warisan Sabah (Warisan) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kunak, Norazlina Arif mengakui pihaknya terpaksa melalui pelbagai Prosedur Operasi Standard (SOP) untuk melakukan kempen pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah kali ini.
Malah katanya, dengan adanya Kluster Laut di kawasan tersebut, ia meningkatkan lagi pelaksanaan SOP namun akur dengan norma baharu itu.
“Kluster Laut (yang ada di Kunak) sudah tentu melahirkan kebimbangan, bukan hanya berkisar kepada kurangnya peratusan pengundi turun tetapi juga di dalam masa kita kempen sekarang terlalu banyak SOP yang kita perlu hadapi.
“Ini sudah tentu normal baru bagi kita di mana tidak boleh bersalaman kadang-kadang dengan orang tua untuk tidak berpelukan dan berjuang dengan penuh emosi.
“Sangat perlu untuk memberikan kefahaman kepada seluruh rakyat sebab bagi kita kempen bukan tentang menerangkan hala tuju perjuangan Warisan tetapi juga untuk memberi ilmu kesedaran kepada rakyat betapa pentingnya menjaga kesihatan dan mematuhi SOP yang disediakan,” katanya kepada – The Nusantara Daily