Calon PBS bukan asing di DUN Karamunting

Calon PBS bukan asing di DUN Karamunting

SANDAKAN,. Parti Bersatu Sabah (PBS) mungkin dilihat meletakkan muka baharu untuk bertanding bagi merebut kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Karamunting pada Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-16 Sabtu ini namun hakikatnya, Kong Nyuk Thau bukan orang asing di kawasan itu.

Pernah berkhidmat dengan dua bekas Ahli Parlimen Batu Sapi iaitu mendiang Datuk Edmund Chong Ket Wah dan Datuk Linda Tsen Thau Lin, Kong berkata beliau telah belajar untuk mendengar permasalahan rakyat dan tahu saluran untuk menyelesaikannya.

“Saya bertuah kerana telah dipilih untuk bertanding bagi merebut kerusi Karamunting mewakili PBS serta sekutu kami iaitu Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN) di bawah Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

“Semasa berkempen, saya amat gembira dan teruja apabila nampak ramai orang yang saya kenal sejak menjadi ketua pegawai komunikasi bagi Datuk Edmund dari 2008, selepas kematian beliau (pada 2010), saya berkhidmat dengan Datuk Linda selama tujuh setengah tahun dan saya telah mempelajari cara-cara mendekatkan diri dengan rakyat,” katanya ketika ditemui selepas berkempen di Kampung Bukit Nenas di sini hari ini.

Berpeluang menimba ilmu dengan kedua-dua bekas Ahli Parlimen, Kong sedar bahawa tanggungjawab menjaga kebajikan rakyat di Karamunting bukanlah perkara bermusim.

Beliau berkata sebahagian besar pembangunan di kawasan itu adalah hasil usaha kerajaan negeri terdahulu dan sepanjang dua tahun lepas, hampir tiada apa yang telah dilakukan di DUN Karamunting setelah berlaku perubahan dalam tampuk pemerintahan.

Antara misi Kong jika dipilih sebagai wakil rakyat ialah meningkatkan tahap keselamatan, infrastruktur awam dan membawa lebih banyak pembangunan ke Karamunting.

“Setelah berkempen selama sembilan hari, saya diterima dengan baik oleh rakyat dan ini mendorong saya untuk berjuang dengan lebih bersungguh-sungguh bagi meraih kemenangan pada 26 Sept ini,” katanya.

Kong, calon nombor 5, berdepan pertarungan tujuh penjuru menentang penyandang George Hiew Vun Zin daripada Parti Warisan Sabah, Datuk Chew Kok Woh (BN-MCA), Adam Chal (USNO), Ha Chuen Hoo (LDP), Lee Tiang Yong (PPRS) dan Loo Mun Yew (PCS).

Mengulas pertembungan dengan calon parti sekutu bagi merebut kerusi DUN Karamunting, Kong berkata perkara itu bukanlah sesuatu yang diingini PBS namun beliau menganggapnya sebagai satu ‘pertembungan mesra.’

“Kami (PBS, PN dan BN) adalah satu keluarga, kami juga rakan seperjuangan. Kami mempunyai lawan yang sama iaitu Warisan,” katanya.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This