CAP gesa kerajaan larang eksport pasir

GEORGE TOWN,. Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa Kerajaan Persekutuan melarang eksport pasir dan membatalkan permit kelulusan (AP) untuk eksport pasir sungai berikutan kesannya terhadap alam sekitar dan masyarakat.

Presidennya, Mohideen Abdul Kader, berkata permintaan yang meningkat untuk pasir sungai dan pemberian AP untuk eksport pasir akan membuka pintu kepada lebih banyak kerosakan berpanjangan.

“Data eksport pasir dari Bahagian Statistik Bangsa-Bangsa Bersatu – Pangkalan Data Statistik Perdagangan Komoditi (COMTRADE) menunjukkan pada 2017 jumlah eksport pasir dari Malaysia mencatatkan sehingga 1,879,233,138 kg dengan kira-kira 95 peratus dieksport ke Singapura.

“Pada 2018, eksport pasir dari Malaysia menyaksikan sedikit penurunan kepada 1,693,640,785 kg, dan Singapura sekali lagi jadi pengimport terbesar dengan 94.7 peratus pasir Malaysia dihantar ke negara jiran itu.

“Malaysia kemudian membuat keputusan untuk melarang eksport pasir ke Singapura semasa pemerintahan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pada 2018,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Kenyataan itu dikeluarkan susulan laporan media bahawa Kementerian Tenaga dan Sumber Asli setakat ini telah mengeluarkan 11 AP bagi eksport pasir sungai.

Pemegang AP dilaporkan dibenarkan mengeksport pasir dan logam lain ke Brunei, China, Taiwan, Korea Selatan, Vietnam, Hong Kong, India, Jepun dan Maldives.

Mohideen berkata, bagaimanapun, pasir sungai masih dieksport menerusi pengeluaran AP dan ia menimbulkan kebimbangan terhadap kesan alam sekitar serta masyarakat, yang melebihi kadar pengisian pasir semula jadi dan mengganggu habitat akuatik.

“Selain kesan kepada ekosistem sungai, perlombongan pasir juga menyebabkan pembentukan semula bahan organik dan toksik, yang seterusnya mengurangkan kualiti air,” katanya.

Menurut beliau, CAP juga mengesan banyak isu pentadbiran dan penguatkuasaan berhubung perlombongan pasir dan antaranya keadaan atau keperluan teknikal selalu dibangkitkan oleh pelombong pasir.

Oleh itu, beliau menggesa pihak berkuasa mengelakkan penggunaan pasir yang tidak perlu dalam projek pembinaan dan menghentikan penggunaan sisa dalam projek seperti penebusan tanah dan mewah.

“Apa yang perlu dilakukan oleh kerajaan Malaysia ialah menyedari bahawa pasir adalah sumber yang terhad kerana banyak negara mulai melarang mengeksportnya,” katanya. – BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )