CBDRM platform perkasa komuniti kurangkan risiko bencana – Redzuan

CBDRM platform perkasa komuniti kurangkan risiko bencana – Redzuan

RANAU,. Program Pengurusan Risiko Bencana Berasaskan Komuniti (CBDRM) mampu menjadi platform memperkasa komuniti dalam usaha mengurangkan risiko bencana, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas) Datuk Seri Redzuan Md Yusof.

Beliau berkata program itu dilihat praktikal kerana maklumat seperti penyediaan kit ’72h’, ‘grab bag’ dan aktiviti Disaster Imagination Games berupaya membantu komuniti dalam menghadapi bencana terutama bagi mewujudkan peta laluan selamat komuniti sebagai panduan berpindah ke kawasan lebih selamat.

Dengan ini, Redzuan berkata kebergantungan kepada agensi dan jabatan dapat dioptimumkan sekali gus boleh mendidik komuniti untuk sentiasa peka terhadap apa yang berlaku di persekitaran mereka termasuk bertindak lebih awal sekiranya berlaku sebarang bencana.

“Komuniti tempatan berperanan penting dalam pengurusan bencana kerana mereka adalah kumpulan paling hampir dengan kawasan bencana selain turut mempunyai maklumat penduduk. Kelebihan itu akan memudahkan akses serta mempercepat proses menyelamat mangsa,” katanya ketika berucap menutup program CBDRM Kundasang 2020 di sini, hari ini.

Program diadakan sejak 2015 itu dianjurkan oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dengan kerjasama Universiti Teknologi Malaysia, Mercy Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam, Institut Geologi Malaysia dan NADIM, sebuah badan bukan kerajaan.

CBDRM Kundasang 2020 juga diadakan sempena memperingati lima tahun kejadian gempa bumi Sabah yang berlaku pada 2015, dan telah menyumbang kepada beberapa bencana susulan seperti tanah runtuh, banjir dan banjir lumpur di daerah ini.

Redzuan berkata pelaksanaan program CBDRM kali ini bertepatan dengan landskap risiko bencana dihadapi masyarakat Kundasang, selain beliau turut melihat konsep kegiatan pengurangan risiko bencana dipimpin komuniti wajar diperluaskan ke seluruh negara.

Beliau berkata dengan menjadikan komuniti Kundasang sebagai antara model, ia satu langkah mitigasi cukup baik dalam mengurangkan kesan bencana terhadap komuniti atau individu.

“Kita maklum Kundasang merupakan salah satu kawasan pelancongan popular. Bahkan selepas kejadian gempa bumi 2015, Kundasang menjadi lebih popular sebagai kawasan pelancongan geobencana. Mahu tidak mahu, semua lapisan masyarakat akan terkesan dengan pelbagai bentuk bencana termasuk pandemik COVID-19.

“Saya melihat komitmen para pengusaha pelancongan untuk lebih memahami risiko adalah selari dengan hasrat kerajaan bagi menambah baik pengetahuan dan komunikasi risiko dalam industri pelancongan.

“Pendedahan maklumat risiko, langkah persediaan dan tindak balas apabila berlaku bencana adalah elemen kritikal mesti didedahkan kepada komuniti. Ia penting dikongsikan contohnya melalui pendaftaran masuk pelancong ke penginapan atau menerusi laman web dan media sosial pengusaha pelancongan,” katanya.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This