Celcom dan Maxis berjaya uji 5G melalui perkongsian rangkaian akses radio

KUALA LUMPUR,. Celcom Axiata Bhd (Celcom) dan Maxis Berhad (Maxis) berjaya menjalankan percubaan 5G Multi Operator Core Network (MOCN) pertama di Asia Tenggara dengan mencapai kelajuan puncak melebihi 1.1Gbps dalam persekitaran luar di tapak percubaan Langkawi, Kedah.

Pencapaian ini mencerminkan komitmen kedua-dua syarikat telekomunikasi dalam merealisasikan pengalaman yang lancar dalam perkongsian aktif infrastruktur 5G, katanya dalam kenyataan bersama dikeluarkan, hari ini.

Pengajaran ini akan memberi manfaat dan melengkapi cita-cita 5G Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) sekaligus komitmen kami dalam melaksanakan inovasi terbaik kepada rakyat dan perniagaan di Malaysia.

Percubaan itu telah dijalankan pada Disember 2019 di tapak 5G Maxis di Seaview Hotel, Kuah dan tapak 5G Celcom di The Westin Langkawi Resort & Spa. Percubaan ini membolehkan kedua-dua pengguna Celcom dan Maxis di lokasi tersebut untuk mengakses rangkaian 5G yang dihoskan oleh kedua-dua syarikat seolah-olah mereka berada di rangkaian asal mereka sendiri.

Percubaan yang berjaya ini menyusul dari Memorandum Persefahaman (MoU) yang telah ditandatangani antara Celcom dan Maxis pada 25 November 2019 untuk menerokai perkongsian aktif 5G RAN pertama di Malaysia.

Melangkah ke hadapan, Celcom dan Maxis juga akan menjalankan percubaan perkongsian aktif RAN menggunakan rangkaian 5G Standalone (5G SA) pada suku pertama (Q1) 2020 akan datang. MOCN merupakan mekanisme Perkongsian Rangkaian Radio (RAN) yang membolehkan dua rangkaian teras berlainan untuk berkongsi RAN yang sama.

Dengan menggunakan MOCN, Celcom dan Maxis dapat meluaskan liputan 5G di tapak sedia-ada dengan lebih cepat, seterusnya menunjukkan kebolehlaksanaan perkongsian infrastruktur 5G apabila spektrum diperuntukkan untuk kegunaan komersil kelak, katanya.

Ia juga menunjukkan keupayaan pelaksanaan serta ketangkasan kedua-dua pihak dalam menyahut kemajuan teknologi untuk pembangunan ekosistem digital negara.

Ketua Pegawai Eksekutif Celcom, Idham Nawawi berkata pencapaian yang memuaskan bagi tahap awal percubaan 5G MOCN kami ini menunjukkan dayamaju untuk kos yang lebih efisien dalam penggunaan 5G di Malaysia.

“Selaras dengan pengumuman spektrum oleh SKMM untuk 5G, kami bertekad untuk bekerjasama bagi prosedur terbaik untuk membina rangkaian 5G berkos rendah sambil mengelakkan duplikasi infrastruktur di samping terus menambahbaik rangkaian 4G,” katanya.

Ini akan memberi pengguna dan perniagaan pengalaman 5G yang lebih bernilai. Kerjasama dan inovasi antara perniagaan dengan teknologi 5G merupakan faktor kejayaan utama dalam pembangunan ekosistem digital negara dalam era IR 4.0, kata Idham.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Maxis, Gokhan Ogut berkata kami amat gembira dengan keputusan percubaan ini dan akan terus meningkatkan usaha kami dalam menyegerakan pelan pelaksanaan 5G.

“Kami amat teruja untuk menuai faedah perkongsian rangkaian yang membolehkan lebih banyak pelaburan untuk perkhidmatan demi pelanggan,” katanya

Beliau berkata 5G akan memainkan peranan penting dalam menyediakan platform teknologi untuk perniagaan yang lebih cekap dan inovatif, justeru membantu pembinaan ekonomi digital yang lebih berdaya saing.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )